Kita Tak Tahu Diterima Ke Tak?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Teringat. Waktu itu masih awal. Kelas akan bermula pada pukul 10.00 pagi. Dan saya bertolak ke institut dalam pukul 9.00 pagi. Cadangnya untuk menyiapkan tugasan program sebelum ke kelas. 

Langkah saya atur menuju ke tempat rehat pelajar. Di hadapan Pusat Sumber Insttitut. Laptop dibuka dan saya mula menyiapkan kerja. Untuk Program Talaqqi Express yang akan diadakan pada hujung minggu tersebut. 

Sedang saya tekun menghadap skrin laptop, dua sahabat menghampiri. Saya kenal mereka. Salah seorangnya merupakan sahabat kepada rakan sebilik saya sewaktu di Pusat Asasi. Orangnya sangat baik dan lembut tutur katanya. Dan seorang lagi, pemilik empunya nama yang sama dengan saya. 

Mereka senyum. Saya juga. 

Mereka meminta keizinan untuk duduk di meja sebelah saya. Khair, silakan saja. Kami sekelas. Meskipun berbeza kos. Mereka juga pasti sedang menunggu pukul 10.00 pagi untuk bergerak ke kelas. 

Mereka berdua punya ujian pada hari tersebut. Ujian Bahasa Arab. Sahabat yang seorang itu menunjuk ajar sahabatnya. Mengulang kaji untuk peperiksaan mereka. 

Entah apa yang mereka sedang bincangkan. Tidak saya fahami. Tahap saya hanya sekadar Bahasa Arab Komunikasi. Saya sambung kerja saya. Membiarkan mereka terus berdiskusi bersama.

Dan kemudian salah seorang daripada mereka meluahkan rasa takut dan gementar untuk menghadapi ujian kerana kelihatannya dia belum lagi bersedia. Sahabatnya menenangkan dia. Dikeluarkan sebuah buku miliknya dan dibacakan sepotong hadis yang tidak saya ingat akan ayatnya.

Sahabat itu kemudian menyambung;

"Kita tak tahu antara amalan kita yang mana yang Allah akan terima. Kita memang tak tahu Allah nak terima ke tak. Kita belajar ni pun, bukan kerana kita nak exam nanti. Kalau kita niat untuk exam, kita tak tahu macam mana Allah nak terima ke tak amalan kita study ni. Jadi, tak payah takut. Tak perlu. Kita study je eh. Belajar pun ibadah. Moga-moga Allah terima amalan kita ni." Dia tersenyum manis.

Lebih kurang begitu bunyinya. Namun saya yakin ayat yang disusun oleh sahabatnya itu lebih menyentuh hati dan jiwa.

Saya di hujung meja hanya diam. Jari jemari terhenti dari menaip. Menghadam kata-kata sahabatnya itu. Menahan genang air mata dari menitis. Allah. 

Wallahu'alam. 

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani