Busyralana.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Semalam. Saya mengenakan jubah hitam bersama tudung putih. Sempena sayyidul ayyam. Hajat di hati. Hari ini. Talaqqi bersama Al Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid. Moga Allah rezekikan. 

Bertemu sahabat sayang di perhentian bas di hadapan Mahallah. Sahabat itu juga berjubah hitam bertudung putih. Hati saya tersenyum riang. Dan sahabat yang seorang lagi, anugerah besar daripada Dia buat saya. Bersama dua orang sahabat sayang itu, kami menuju ke musolla Engin. 

Talaqqi bermula 11.30 pagi. Tetapi saya terlewat. 11.34 pagi baru bertolak dari bilik. Dalam hati mengutuk diri. Tidak menjaga adab berguru. Hadir selepas guru hadir. Kamu teruk sekali wahai diri.  

Sampai sahaja di Kuliyyah of Engineering, saya lihat ada tiga orang muslimin berjubah putih dan berserban menunggu di tempat parkir kereta. Hati mula lega. Kerana saya tahu, mereka pasti sedang menantikan kedatangan Habib. Kami mengambil jalan tepi mengelak bertembung dengan mereka. Sampai sahaja di bangunan tersebut, kedengaran qasidah Thola'al Badru sedang dilagukan daripada musolla. 

Teringat. Sewaktu di MTDM menyambut kedatangan Habib yang baru pulang dari melaksanakan Haji. Juga qasidah yang sama dinyanyikan. Dan waktu itu, semua hadirin berdiri dengan muka bercahaya kegembiraan menyambut kepulangan Habib ke MTDM. Waktu itu, ada keindahan dan kemanisannya. 

Berjalan lagi. Dan kemudian tiba di musolla muslimat. Lega. Syukur. Alhamdulillah. Pandangan ditala ke sekeliling musolla, mencari kelibat kakak-kakak kesayangan. Tiada ketemu. Barangkali belum tiba. Kami mengambil tempat di tepi musolla. Satu saat, hati terasa lega. Kerana tirai tidak dibuka. Terlindunglah diri ini daripada pandangan mata hati sang guru. Teringat pesan murabbi, takutilah dengan pandangan wali-wali Allah kerana mereka melihat dengan pandangan mata hati. Allah Allah. 

Dan kemudian, muslimin memberikan isyarat supaya muslimat bergerak ke hadapan. Ke ruangan musolla muslimin bagi memenuhi ruangan belakang. Muslimat yang lainnya mula bangkit mengambil tempat. Kami masih tetap duduk. Takut. Risau. Tidak pernah sedekat ini dengan Habib. Dalam satu ruangan yang sama. Biasanya di MTDM, kami jauuuuuh di belakang. Memang tidak terlihat. 

Saya katakan kepada sahabat 'Lebih baik kita gerak sekarang daripada kita gerak masa Habib dah sampai.'


Mendengarkan itu, sahabat bingkas bangun. Saya juga. Saya kemudian mengetuai langkah kami memasuki ruangan musolla muslimin dan mengambil tempat di hujung sekali. Di tepi dinding. Kepala tunduk. Bibir terkumat-kamit membaca doa yang diajar oleh murabbi. 

"Ya Allah, tutupkanlah keaibanku dengan tutup-Mu yang indah."


Diulang. Lagi dan lagi. Dan kemudian, pandangan tertala kepada pintu musolla. Ada susuk tubuh yang sangat dirindukan. Tinggi dan penuh wibawa. Berpakaian serba putih. Baik jubah mahupun serbannya. Dengan senyuman yang tak lekang di wajahnya. Indah bercahaya. Tenang dan menenangkan.

Laju refleks tangan mencapai tangan sahabat di sisi. Cuba memberitahu kedatangan Habib. Habib dah datang! Sahabat itu tunduk. Malah makin tunduk ke bawah. Dalam hati bercampur baur. Dalam kerisauan ada kegembiraan. Hati terasa menyanyi-nyanyi.

Habib mengambil tempat duduk di atas kerusi. Dimulakan dengan bacaan doa dan niat mencari ilmu dan mengajar lalu beliau mensyarahkan kitab Aqidatul Awwam. Bab tentang isteri-isteri Nabi, ummahatul mukminin. Allah. Dekat sekali dengan hati bab yang akan dibicarakan ini. Siapa lagi idola kami, para muslimah yang di belakang ini kalau bukan isteri-isterinya Baginda Rasulullah SAW. Gembira bertambah gembira. Bahagia. 

Dalam mendengar syarahan Habib, saya dan sahabat masing-masing tunduk. Ada kalanya melihat kepada wajah Habib ketika Habib sedang berbicara namun apabila Habib melemparkan pandangan ke arah tepi, kami lantas tunduk. Refleks. Seketika pandangan terpaku pada Habib. Mata mula bergenang. Ini nikmat yang cukup besar. Ya Allah, berikanlah kepadaku apa yang Kau berikan kepada hamba-Mu itu. Saya bacakan dalam hati doa yang diajar oleh murabbi. 

Dalam diam saya menghitung waktu. Dah 15 minit. Dah setengah jam. Dah 57 minit. Lagi tiga minit cukup sejam. Hati dah menari-nari. Bahagia duduk bersama orang soleh. Bersama Habib dan sahabat sayang yang berada di sebelah. Sewaktu sesi soal jawab, terdapat satu soalan yang dibacakan bermula dengan, "Assalamualaikum ya Habibi.." Minda laju memproses makna 'Salam sejahtera ke atas kamu wahai kekasihku'. Mendengarkan itu, Habib tersenyum manis. Saya juga ikut tersenyum. 

Tidak berapa lama kemudian, panggilan menuju solat dikumandangkan daripada masjid. Dan pengajian ditamatkan. Habib melangkah keluar sambil dikerumuni muslimin yang ingin bersalam. Habib menyalami anak-anak kecil yang menghulurkan tangan mereka. Comel. Betapa Habib meraikan mereka. Dan saya terus memerhatikan sehingga Habib hilang dari pandangan. Dan kemudian tersenyum. Sahabat juga. Hanya Allah tahu rasa di hati kami ini. 

Bagaimanakah agaknya pertemuan dengan Sayyidina Rasulillah suatu hari nanti? 

Layakkah diri ini? 


بُشْرَىلَنَا نِلْنَاالْمَُى . زَالَ الْعَنَى وَافَالْهَنَا 

Kebahagiaan milik kami kerana kami memperoleh harapan. 
Dan hilang sudah semua kesusahan, lengkap sudah semua kebahagiaan.

وَالدَّهْرُاَنَجْزَوََعْدَهُ . وَالْبِشْرُاَضْحَى مُعْلَنَا

Dan waktu sudah menepati janjinya. Dan kebahagaan menampakkan kemuliaan kami. 
Berlumuran dengan wangian kegembiraan menanti pertemuan dengan insan termulia.

يَانَفْسُ طِيبِي بِاللَّقَا يَاعَيْنُ قَرَّى اَعْيُنَا

Wahai nafsu, puaslah dengan perjumpaan ini. Wahai mata, sejukkanlah semua mata kami. 

هََذَاجَمَالُ الْمُصْطَفَى . اَنْوَارُهُ لاَ حَتْ لَبَا

Lihat! Inilah keindahan al-Musthafa . Cahayanya lebih kelihatan dan mempersona bagi kita semua.

يَا طَيْبَةُ مَا ذَانَقُولْ وَفِيكِ قَدْ خَلَّ الرَّسُولْ 

Duhai Thaibah (Madinah), apa yang dapat kami katakan?. Jika Rasul telah mendiami wilayahmu. 

وَاُلُّنَانَرْجُواْلوُصُولْ. لـِمُحمَّدٍ نَبِــيَّنَا 

Dan kami semua ingin berjumpa. Dengan Muhammad, nabi kami. 

يَارَوْضَةَالْهَادِالشَّفِيعِ . وَصَاحِبَتِهِ وَالْبَقِيعِ

Duhai taman Nabi, pembawa petunjuk dan pemberi syafaat. Dan kedua temannya serta tanah Baqi' 

اُاْتُبْ لَنَا نَحْنُالْجَمِيعُ . زِيَادَةًلِحَبِيبِنَا

Catatlah kami semua. Bahawa kami berziarah kepada kekasih kami. 

صَلَّ وَسَلَّمْ يَا سَلاَمْ . عَلَى النَّبِى مَا حِى الظَّلاَمْ

Wahai Tuhan Maha Pemberi Salam, berikan selawat dan salam. Kepada Nabi menghilangkan kegelapan. 

وَالْأَلِ وَالصَّحْبِ الْاِرَامْ . مَا أُنْشِدَتْ بُشْرَى لَنَا

Juga keluarga, para sahabat yang mulia. Selama dilagukan qasidah "Busyro Lana"

Wallahu'alam.

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani