Rindu Talaqqi.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Pada tika saya mula menaip entry ini, jam menunjukkan pukul 5.33 petang. Target mahu habis sebelum 6.30 petang. Biidznillah. 

Pertama sekali, sungguh, terasa sekali diri ini, selepas membaca entry daripada Cik Khadijah dalam blog Meownya. Subhanallah. Benar sekali. Maaf seribu kali maaf buat orang itu. Sungguh, maaf.  Semoga Allah memudahkan urusannya dia. Maaf juga buat Kak SI. Semoga Allah mengganjari Akak dengan ganjaran yang besar dari sisi-Nya. Amin. 

Kedua, Alhamdulillah, Allah beri kesempatan lagi untuk travel. Pagi tadi pergi ke Gombak. UIA Gombak lebih tepat lagi. Talaqqi bersama Al Habib Ali Bin Zainal Abidin Al Hamid di Musolla Kulliyah of Engineering. 

Pada awalnya, bercadang untuk bertolak seawal jam 10.00 pagi. Namun, terlewat setengah jam kerana perlu menyelesaikan urusan berkenaan program di Gahai di STAD. Bertemu Kak Seha dan Kak Shila. Sungguh, Kak Seha sangat murah hati. Tidak pernah menolak untuk membantu kami, Kelab PERKIM. Terharu sekali rasanya hati ini. Bukan sekali, bahkan berkali-kali kami menyusahkan Kak Seha. Malu rasanya. Semoga Allah membalas jasa baik Kak Seha itu dengan sebaik-baik ganjaran, amin. 

Pertama kali travel sendirian setelah sekian lama. Agak pelik juga rasanya setelah lama terbiasa berdua dan kadangkala juga beramai-ramai. Kalau kawan-kawan, roomates tahu, mesti dah kena marah. Tiba di LRT Universiti, guna IC untuk sentuh dan pergi. Teruja. 

Pelik. Ramai sekali orang pada hari ini. Sangat ramai orang. Bersesak-sesakkan kami di dalam koc LRT itu. Tertanya-tanya juga destinasi yang dituju setiap orang. Destinasi saya 19 stesen di hadapan. Jauuuh. Semasa sedang dalam keramaian itu, ada sepasang suami isteri menegur saya. 

"Tumpang tanya, di sini Jumaatnya jam berapa?" Pandangan lantas dialih menghadap kepada yang bertanya.

Erk. Em. Pelancong. Indonesian. Comelnya! 

"1.30 petang."

"Setengah dua?"

Setengah dua? Krik krik. 

"One thirty?" Si suami bertanya, meminta kepastian.

"Yes, one thirty." Krik krik.

"Oh, itu azannya atau apa?" Isterinya bertanya lagi.

"Azan, dalam lebih kurang 1.30 petang."

"Biasanya ke masjidnya dalam pukul berapa?"

"Em. Pukul 1.00 biasanya sudah ke masjid." 

"Oh ya, terima kasih ya. Masih ada lagi dua jam." Si isteri memberitahu kepada si suami. 

"Tanya lagi, di KLCC itu ada ngak masjidnya?"

"Ada. Ada. Masjid KLCC." Nak beritahu Masjid As Syakirin, takut susah pula nak mencarinya. 

"Oh ya. Terima kasih." Si isteri tersenyum. Saya membalas senyumannya di sebalik purdah.

Saya mengembalikan pandangan ke luar koc. Suami isteri itu terus bersembang sesama mereka. 

"Tanya lagi, di Kampung Baru ada apa yang wisata?" Si isteri tersebut bertanya lagi.

Wisata? Krik krik. Mata berkelip-kelip, buat muka tak faham. Huhu. 

"Wisata. Tempat-tempat yang menarik gitu."

Oh. Faham. Faham. 

"Em, saya tidak tahu. Saya bukan orang sini."

"Bukan orang sini?"

"Saya dari Penang, belajar di sini."

"Belajar di sini? Kuliah atau sekolah?" Suaminya bertanya.

"Universiti." Sekolah? Saya nampak muda ke? Krik krik. Syiok!

"Universiti apa ya?" Suaminya bertanya lagi.

"Universiti Islam Antarabangsa."

"Oh. Antarabangsa itu, wajib Indonesia." Si suami bergurau. Ketawa pecah. Ramahnya. 

"Penang? Jauh itu. Nasi Kandar." Ujar si suami lagi.

Saya senyum. Ya, ya. Memang sinonim Penang dengan Nasi Kandar. Hebatnya depa taw.

"Pandai..." Saya membalas sambil tersenyum lagi.

"Mahu ke Penang itu berapa lama ya?" Si isteri bertanya lagi.

"6 jam."

"Oh. Jauh. 6 jam." Si isteri terkejut.

"Di sini ada ngak Nasi Kandar?" Suaminya bertanya.

Saya tersenyum. "Saya tidak tahu. Maaf." Ada tu ada tapi tak tahu kat mana. Tak arif dengan restoran luar. 

"Di sini hanya makan nasi lemak. Sudah berapa hari makan nasi lemak. Sama itu...roti canai.." Suaminya menambah.

"Oh ya. Itu untuk breakfast."

"Breakfast? Tapi kami makan itu pagi petang siang malam." Suaminya membalas.

Alahai kesiannya. Nak cadangkan tempat-tempat menarik, saya juga tidak tahu. Nak cadangkan makanan sedap-sedap selain Nasi Lemak, saya juga tidak tahu. Waa, asif jiddan. Bestnya jadi pemandu pelancong. Tetiba. 

Perbualan kami terhenti di situ. Di Stesen LRT KLCC, mereka turun. Saya kembali diam. Walaupun orang sudah mulai berkurangan, tetap saja tempat duduk penuh semuanya. Saya masih tetap berdiri. 

Tiba di Wangsa Maju, seats mulai kosong. Alhamdulillah, dapat juga duduk. Dari dalam koc di Wangsa Maju, pandangan tertumpu pada bangunan sekolah di tengah-tengah deretan rumah di situ. SK Desa Setapak. Sekolah rendah saya dahulu. Nostalgia. Ingin sekali kembali ke sana. Sangat ingin. Semoga dibukakan peluang dan ruang, Insha Allah. LRT bergerak laju. Menggantikan permandangan sekolah kenangan itu dengan permandangan bangunan-bangunan lainnya. 

Sebelum tiba di LRT Gombak, terdengar "Stesen berikutnya, Terminal Putra." Eh, betul ke nih? Salah ambil LRT? Tak. Dah betul dah. Hanya sahaja bila sampai di LRT Gombak, baru tahu Terminal Putra itu LRT Gombak lah. Huhu. Ok. 

Menanti selama lebih kurang setengah jam. Berharap bas yang di hadapan saya ini bergerak. Pemandunya mungkin sedang berehat. Jam menunjukkan 11.30 pagi. Talaqqi sudah bermula. Allah. Pak Cik, jomlah, jomlah. 

Melihat keadaan Pak Cik Driver yang macam tengah gundah-gulana, barangkali dia punya masalah. Rasa kesian pula. Tak apalah. Tiba-tiba, rasa terpukul, saya tidak membaca wirdul Latif pagi tadi, barangkali Allah ingin menegur. Saya isi waktu itu dengan wirid, Pak Cik Driver, take your time ya. Dan sebaik saja hampir menamatkan wirid, orang ramai segera beratur memasuki bas. Wah, memang Allah nak tegur nih. Huhu. 

Sampai sahaja di pintu pagar UIA Gombak, bas berhenti. Akak di sebelah sibuk mengeluarkan sesuatu daripada begnya. Ada apa ni? Krik krik. Suspennya. Pak Cik Security Guard UIA Gombak masuk ke dalam bas, memeriksa kad matrik setiap pelajar. Ok, saya takut. Saya keluarkan kad matrik UIA PJ dan menunjukkan pada beliau. Alhamdulillah, lepas. Krik krik. Berdebar rasa hati. Macam pesalah gitu. Mereka yang gagal menunjukkan kad pengenalan UIA, diminta keluar ke pos pengawal. Rasa kesian pada seorang pensyarah UM yang diminta turun. 

Sampai di Kuliyyah of Engineering, teringat pesan Kak Aisyah, tanya saja pada sesiapa, mesti ada yang bantu. Cari-cari orang. Tak ada. Kat hujung sana ada brother, masuk dalam kereta dan pergi. Gimana ini. Nak tanya Kak Aisyah, bimbang mengganggu Akak sedang bertalaqqi. Ikutkan saja langkah kaki. Lihat pada signboard, ada mechanical dsb. Erk. Mana musolla? Terus melangkah masuk ke sebuah bangunan. Gerak hati dan gerak langkah seiring menuju ke bangunan tersebut. Terlihat kelibat seorang brother berjubah putih berjalan dan seterusnya menaiki tangga dan seterusnya hilang dari pandangan. Terdengar juga sayup-sayup suaranya Al Habib Ali. Dah betul dah ni. Gembira.

Ikut naik tangga yang sama, terus nampak musolla. Alhamdulillah. Syukur. Syukur. Syukur. Melangkah masuk. Duduk. Keluarkan kitab Safinatun Najah dan buku nota. Meskipun tidak terlihat wajahnya Al Habib, tetap saja hati ini tenang mendengar suaranya. Sekali lagi, rasa terpukul. Duduk sahaja, Habib sedang berbicara tentang nilai waktu. Betapa ulama dahulu amat menghargai dan memahami akan betapa bernilainya waktu itu.

           "Pencari ilmu, yang pertama harus dikorbankan ialah waktu."

Al Habib kemudian menyebutkan pepatah Arab bahawa waktu itu seperti pedang. Jika tidak digunakan dengan baik, maka ia akan memotong kamu. Ya, saya bukan pengguna waktu yang baik. Barangkali tanpa saya sedari, sudah hancur lumat diri ini dipotong-potong oleh waktu. Subhanallah. 

           "Allah tidak akan mengambil sesuatu daripada seorang hamba melainkan Dia berikan sesuatu yang lain."

Sewaktu mensyarahkan tentang waktu-waktu solat, Al Habib menceritakan tentang sahabat Nabi Muhammad Sallallahu A'laihi Wassalam, iaitu Abdullah Ibnu Mas'ud. Walaupun Abdullah Ibnu Mas'ud itu buta, tetapi beliau diberi kepercayaan untuk mengumandangkan azan Subuh. Nah, bagaimana mahu tahu sudah masuk waktu Subuh atau belum jika mata tidak boleh melihat? Makanya, Allah memberikan kepada Abdullah Ibnu Mas'ud kurniaan dapat menghidu bau Subuh. Masha Allah Tabarakallah. Hebat bukan. Lebih hebat Allah yang mengurniakannya itu. 

               "Demi Subuh, apabila ia bernafas." -Surah At-Takwir, 81:18

Apabila mensyarahkan tentang bayang-bayang tampaknya masuk waktu Zohor dan Asar, Habib menceritakan kisah seorang sahabat Baginda Nabi yang berjalan bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam, yang kemudiannya tersedar takut-takut beliau terpijak bayang-bayangnya Baginda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam lalu menyalahi adab dengan Baginda Nabi Sallahu 'Alaihi Wassalam. Beliau kemudiannya mencari-cari bayangannya Baginda Nabi Sallahu 'Alahi Wassalam supaya dapat berjaga-jaga biar tidak terpijak namun tidak ketemu. Baru saya tahu hari ini bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam itu tidak punya bayang-bayang. Allah. Hebatnya cahaya dalam diri Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam itu. 

Dalam Al-Quran, Allah mensifatkan orang-orang beriman itu dengan cahaya yang menerangi diri mereka daripada hadapan dan belakang mereka. Cahaya akan diberikan kepada orang-orang yang beriman pada wajah mereka dan kesan daripada sujud mereka. Cahaya yang masuk ke dalam hati akan menjadikan hati terbuka dan lapang. Tanda cahaya masuk ke dalam hati ialah cenderung kepada akhirat, mengelak akan dunia dan mempersiapkan diri untuk mati.

Al Habib juga ada menyatakan bahawa bagi wanita yang uzur, perbuatan dia tidak bersolat itu menjadi ibadah baginya. Begitu juga kalau semasa tidak uzur, kita banyak menghadiri ta'alim di masjid-masjid contohnya, namun semasa uzur, kita tidak diperbolehkan memasuki masjid, maka perbuatan itu mendapat pahala sama seperti kita menghadiri ta'alim tersebut kerana kita patuh akan perintah Allah SWT. Saya benar-benar terkesan. Ya, pernah sahaja saya dan sahabat-sahabat sedih bahkan mengeluh tidak berkesempatan menghadiri majlis ilmu kerana keuzuran. Namun, ternyata besar sekali hikmah yang Allah telah tetapkan kerana sesungguhnya Dia Lebih Mengetahui dan Maha Mengetahui segala sesuatu. 

Usai talaqqi, muslimat mulai beransur keluar dari musolla. Saya masih tetap di tempat duduk. Berkira-kira langkah yang patut diambil, tempat yang ingin dituju. Alhamdulillah, Allah temukan saya dengan Kak Diana. Teruja sekali Kak Diana menemui saya. Kak Diana memang pandai meraikan orang. Gembira rasa hati. Kemudian, bertemu Kak Syafikha dan Kak Aisyah. Kena marah dengan Kak Aisyah sebab travel sorang-sorang. Hehe. "Awak ni memang taw." Ya Kak, ya. Saya memanglah saya. Hee. Best ada kakak yang concern dengan diri ni. 

Dalam perjalanan menuju ke Mahallah Aminah untuk makan tengah hari, Kak Diana dan saya berbual-bual. Kalau bersama Kak Diana, banyak sekali ilmu-ilmu yang dikongsikan beliau. Bagai sudah menjadi tabiat, setiap tutur katanya bahkan menjadi peringatan untuk diri ini. Sewaktu berjalan di bawah panas terik,

"Tengok, kita ada bayang-bayang. Rasulullah tak ada bayang-bayang. Cahaya Rasulullah tidak terpantul. Akak banyak dosa sebab tu ada bayang-bayang. Rasulullah maksum, tak ada dosa. Teringat cerita Habib Ali kongsikan tadi kan." Kak Diana  memandang saya sambil tersenyum di sebalik niqab yang dipakainya.

Saya ikut tersenyum. Masha Allah. Sampai di kafe, kami makan bersama. Kak Aisyah juga ada. Bestnya Kak Diana belanja. Betul tak saya kata, Kak Diana sangat meraikan orang. Huhu. Habis makan, saya minta diri untuk balik ke CFS. Urusan Gahai masih belum selesai. Harus segera ke STAD sebelum tamat waktu pejabat. Berjalan bersama Kak Aisyah ke bus stop sebelum berpisah di hadapan Mahallah Asma. 

Dari LRT Gombak, saya cuba menghabiskan bacaan Travelog Syahadah. Tanpa sedar, sudah tiba di LRT Universiti. Alhamdulillah. Senang sekali hati ini! Syukur syukur syukur. Walaupun pada mulanya pagi tadi agak ragu-ragu untuk meneruskan perancangan ke UIA Gombak, kerana memikirkan urusan Gahai yang belum selesai ditambah dengan paperwork hisbah yang masih belum siap dan juga mid sem exam yang sudah dekat jiddan, namun akhirnya saya turutkan jua kehendak hati yang rindu talaqqi kerana bukan mudah peluang dan ruang untuk hadir talaqqi di UIA Gombak itu tiba. Saya cuba berlawan dengan nafsu dan Alhamdulillah kekuatan Allah beri dan jalan yang Allah takdirkan saya ambil, sungguh saya tidak menyesal. Hehe. Life is indeed a choice and we make our own choice. 

Wallahu'alam.

p/s: Ok, terlajak hampir sejam.T.T

One response to “Rindu Talaqqi.

  1. Baiknya kak Seha ^^/4 Syukran 'ala hazil 'ilm..

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani