Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Sebak rasanya sewaktu ingin mula menaip entry ini. Terlalu banyak yang ingin dikisahkan di dalam entry yang satu ini. Kerana terlalu banyak nikmat dan kurnia dari-Nya yang melimpahi diri ini kebelakangan ini. Syukur ya Allah. Syukur yang tidak terhingga hamba yang hina ini panjatkan untuk-Mu yang Maha Sempurna daripada segala kekurangan.
Pengalaman dan kenangan di Pondok Baitul Qurro Wal Fuqaha (PBQWF) masih belum sempat diterjemahkan dalam bentuk bait-bait tulisan untuk dikongsi bersama sahabat semua. Asif. Insha Allah, akan diusahakan. Sungguh, Daurah Osborne di PBQWF menjadi satu detik yang sangat-sangat bermakna dalam hidup seorang Fatin Nuradilah. Malah, saya yakin, setiap seorang peserta daurah tersebut juga merasakan yang sama seperti saya. Hanya yang merasai akan memahami. Subhanallah.
Alhamdulillah, Maulidnya Habibina Rasulina sudah pun tiba. Syukur dan bahagia rasanya melihat meriahnya acara-acara dan sambutan Maulid di serata ceruk di negara ini. Baik di Utara, Selatan mahupun di Barat tanah air ini semuanya diserikan dengan mahabbah kepada Sayidina Muhammad SAW. Sungguh, syukur rasanya kerana kesedaran itu semakin menebal dalam kalangan masyarakat kita. Jangankan masyarakat, malu rasanya untuk mengakui namun diri ini tidak kurang juga, baru menemukan kesedaran untuk mencintai Habibina Rasulina Muhammad SAW. Insha Allah. Allahummarzuqna mahabbatan Nabi fi qulubina. Amin.
Sehari selepas berlangsungnya Maulidur Rasul, Allah SWT telah berkenan menghadiahkan saya dengan pemberian yang bagi saya sangat super-duper special yang tidak mungkin akan saya lupakan seumur hidup ini Insha Allah. Barangkali ada yang menafsir pemberian tersebut sebagai hadirnya Baginda Rasulullah dalam mimpi saya. Allahu Allah. Sungguh, saya masih belum layak bahkan hati ini saja masih lagi bergelumang dengan dosa dan noda, mana mungkin Baginda berkenan hadir dalam tidur saya. Namun, semoga suatu hari nanti saat itu akan tiba Insha Allah. Allahumma amin. Siapa sahaja yang tidak ingin menatap wajah mulia Baginda dalam mimpinya?
Namun, tetap saja saya bersyukur kerana walaupun saya masih belum berkesempatan bertemu Baginda, tetapi Allah SWT berkenan menemukan saya dengan pewarisnya Nabi, yakni ulama'nya yang mulia dan faqih, Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki face-to-face, Alhamdulillah.
Masih saya ingat, waktu itu saya dan seorang ukhti terpaksa berjalan dari Cold Storage untuk kembali ke CFS kerana bas yang kami naiki terlajak berhenti jauh di hadapan CFS. Waktu itu, saya kepenatan. Sungguh, saya sangat letih. Kedua belah tangan berat memegang barangan keperluan yang baru sahaja selesai dibeli. Berat. Penat. Tercungap-cungap saya dibuatnya. Rasanya pada waktu itu, Myoglobin sudah pun mula digunakan dek kerana kurangnya oksigen yang diperlukan untuk proses metabolisma badan saya. (Refresh balik Biology baru belajar minggu lepas.:P)
Dan sewaktu perjalanan, saya menerima panggilan telefon daripada ukhti habibati, Amira Azhar. Beliau memaklumkan bahawa ada kekosongan di dalam trip ke stesen TV Al Hijrah untuk rakaman slot Cinta Ilmu bersama Syeikhuna. Mendengar sahaja nama Syeikhuna, langsung saja saya menyatakan persetujuan walaupun waktu itu saya tidak berapa memahami sepenuhnya bicara sahabat saya itu. Saya tiba di CFS pada pukul 1.30 petang dan kata Amira, saya harus ada di FZC untuk trip tersebut pada pukul 2.00 petang. Subhanallah.
Sampai sahaja di bilik, saya langsung solat dan kemudian bergerak ke FZC. Sebelum itu, sudah saya berpakat dengan ukhti sayang, Amira Azhar untuk mengenakan purdah kerana outing sebelumnya juga saya keluar dengan secebis kain itu menutupi wajah saya. Tiba sahaja di FZC, sekumpulan sisters sudah mula menunggu di waqaf yang disediakan. Saya malu, saya segan. Berpurdah dalam kalangan ukhti-ukhti yang daripada DQ dan adik-adik IRK.
Dalam perjalanan, saya membaca Surah Al Kahfi yang belum sempat dibaca sebelumnya. Hari itu merupakan hari Jumaat. Beberapa minit setelah saya mengkhatamkan Al Kahfi, kami tiba di stesen TV tersebut. Dipendekkan cerita, kami terus dibawa ke studio rakaman. Akhawat yang hadir mengambil tempat duduk, Amira dan saya menanti di belakang. Kerusi yang ada hanyalah 15 kerusi di bahagian muslimin dan 15 kerusi di bahagian muslimat juga. Dan akhirnya tempat duduk yang kosong hanyalah dua tempat betul-betul di hadapan pentas. Subhanallah. Lengan baju Amira saya tarik-tarik menunjukkan kerisauan dan kegelisahan yang melanda diri. Duduk di barisan paling hadapan, tepi sekali dan kerusi-kerusi muslimin di sebelah kanan saya. Itu belum dikira dengan dekatnya kerusi yang bakal diduduki oleh Syeikhuna nanti. Gurlp!
Krew produksi yang ada semuanya mula melakukan persediaan. Lighting, sound check dan segalanya yang berkaitan dengan rakaman sesuatu program. Kami diperingatkan supaya meng'silent'kan handphone dan juga diperingatkan supaya menyelesaikan segala urusan tandas dan bilik air sebelum rakaman bermula. Waktu itu jam menunjukkan pukul 3.50 petang. Kami akan memulakan dengan sesi rakaman bersama Syeikhuna pada pukul 4.00 petang dan kemudian diteruskan dengan sesi siaran langsung pada jam 6.00 petang.
Sebelum sesi rakaman bermula, Amira dan saya masing-masing kerisauan. Syeikh nanti bakal duduk betul-betul di hadapan kami. Allahu Allah. Takut, risau. Teringat kata-kata murabbina, bahawa para solehin itu melihat dengan pandangan mata hati. Allah. Saya ini penuh dosa dan noda, malunya rasa nak menatap wajah mulia Syeikhuna. Bagaimana ini, ya Amira? Kami berpandangan. Masing-masing terkumat-kamit membacakan doa yang diajarkan oleh murabbina Ustaz Muhadir Bin Haji Joll. Ya Allah, tutupilah keaiban kami dengan tutup-Mu yang indah. Doa itu kami ulang-ulang entah berapa kali. Kemudian, kami tuliskan doa tersebut di atas kertas lalu di'pass'kan kepada semua muslimat yang hadir. Berkongsi ilmu dengan yang lainnya. Tidak ingin aib kami sahaja yang ditutupi-Nya bahkan semoga aib kami semuanya yang hadir dalam studio tersebut ditutupi oleh Allah SWT juga.
Saya mencuba menghilangkan debaran di dada dengan permainan Soduku yang baru sahaja saya beli bukunya sebentar tadi. Soduku untuk melatih minda berguna juga untuk menghilangkan debaran ya. Khair. Pasti krew-krew dan ahli kumpulan qasidah yang ada pelik melihatkan seorang wanita berpurdah sedang asyik dengan buku permainan Sodukunya sementara menanti rakaman bermula. Saya berhenti seketika daripada menghadap buku Soduku milik saya apabila seorang krew rakaman meminta kumpulan qasidah untuk testing qasidah pembukaan, Salamun Salam. Tidak beradab rasanya saya yang duduk di hadapan pentas tidak menghormati mereka yang sedang berqasidah. Rasa janggal itu juga ada apabila melihatkan kumpulan qasidah tersebut bersila di atas pentas sedangkan saya duduk di atas kerusi. Asif. Asif.
Tidak lama kemudian, saya terdengar seseorang memberikan salam dari sebelah kanan saya. Laluan kosong antara kerusi muslimin dan muslimat. Saya berpaling dan terlihat kelibat Syeikhuna. Kaget sebentar. Syeikh sudah datang. Subhanallah. Subhanallah. Syeikh menanggalkan kasut miliknya langsung naik ke atas pentas dan mengambil tempat di kerusi yang disediakan. Saya masih lagi terkejut dan kaget. Apakah ini mimpi ya Allah? Sungguh, Amira dan saya masing-masing tidak berani untuk mengangkat kepala melihat ke arah Syeikh. Takut. Risau. Gelisah. Namun gembira. Bahagia. Allahu Allah. Sungguh, jarak antara saya dan Syeikh hanyalah satu meter cuma atau barangkali lebih dekat. Syeikh duduk betul-betul di hadapan saya. Jantung berdegup pantas. Ya Allah, tutuplah keaiban kami dengan tutup-Mu yang indah.
Pertama kali berhadapan dengan Syeikh yang mulia, perasaanya sukar untuk digambarkan. Ini merupakan kali ketiga saya duduk dalam halaqah ilmu bersama Syeikh. Kali pertama, sewaktu ukhti habibati, Amirah Hazwani mengajak saya mengikuti pengajian bersama Syeikh di Masjid Wilayah Persekutuan pada Ramadhan yang lepas. Waktu itu, saya duduk jauh di belakang muslimat yang hadir. Kali kedua sewaktu di PBQWF, Syeikh datang untuk pengajian Hadis 40 Imam Nawawi dalam Kuliah Dhuha bersama masyarakat Melaka. Kuliah tersebut diadakan pada hari daurah kami bermula. Waktu itu, saya tidak berkesempatan menatap wajahnya Syeikh kerana Amira dan saya duduk menghadap dinding. Kami pada waktu itu, melihat ke arah dinding tersebut dengan khusyuk sekali seolah-olah dinding tersebut tidak wujud dan kami dapat melihat terus ke arah Syeikh di hadapan.
Dan kini, tiada dinding, dan bukan juga di belakang. Syeikh betul-betul di hadapan kami. Nah, apa lagi yang dapat kami ungkapkan selain tahmid dan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT yang mengurniakan nikmat sebegini besar. Namun, ironinya tatkala Syeikh betul-betul di hadapan kami, kami tidak berani untuk menatap wajahnya Syeikh. Allah, nikmat ini sangat besar buat kami. Syukur, seribu kali syukur.
Sewaktu rakaman berlangsung, saya rasa bahagia. Berpeluang menatap wajahnya Syeikh, mendengar bicara hikmahnya Syeikh dan duduk dalam satu halaqah ilmu bersama Syeikh. Syukur ya Allah. Lupakan semua krew-krew produksi, kumpulan qasidah dan penonton yang lainnya, hanya Syeikh yang menjadi tumpuan saya tika itu. Tidak berani rasanya mengangkat kepala melihat wajah bersih dan suci Syeikh, cukup sekadar memandang ke arah kakinya Syeikh dan kadangkala tersenyum di sebalik purdah melihat gerak kaki Syeikh yang asyik dibuai qasidah memuji Habibina Rasulina Muhammad SAW. Syukur, syukur ya Allah.
Tamat sesi rakaman, krew produksi memaklumkan kepada kami bahawa ada muslimat daripada Masjid yang saya tidak ingat namanya datang mengadakan lawatan dan kami harus memberi peluang kepada mereka untuk duduk bersama Syeikh untuk sesi siaran langsung pada jam 6.00 petang nanti. Agak sedih. Tapi, saya tidak boleh tamak. Pasti ada hikmahnya bukan. Dan petang itu, kami masuk ke dalam siaran rakaman program Dialog Harmoni dengan tajuk Keluarga Songsang. Beberapa pelajar daripada CFS ditemu bual dan juga diminta untuk mengajukan soalan. Saya yang mengambil tempat di belakang diminta oleh krew produksi untuk duduk di barisan hadapan, lagi. Allah. Namun, pengalaman yang menarik.
Syukur. Syukur. Syukur. Hari itu telah mencatat sejarah yang sangat bermakna bagi diri saya. Kata Amira, sepatutnya beliau hadir ke trip tersebut bersama seorang sahabat beliau, namun sahabatnya itu tarik diri. Katanya lagi, memang rezeki saya. Syukur. Syukur, Alhamdulillah. Tidak cukup rasanya dengan sekali sujud syukur atas nikmat yang besar ini, namun saya sendiri tidak tahu bagaimana lagi untuk mengungkapkan rasa kesyukuran ini. Syukur ya Allah. Syukur. Syukur. Syukur, Alhamdulillah.
::Allahummarzuqna mahabbatan Nabi fi qulubina::
::Allahummarzuqna mahabbatan Nabi fi qulubina::


