Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Sepetang bersama sahabat sayang di 108C. Ukhuwah in progress bak kata mereka. Senyum segaris.
Seusai makan, menerima pesanan ringkas daripada dia. Mengajak untuk berkhitbah. Terdiam seketika.
Kemudian, melanjutkan perbualan bersama sahabat sayang semuanya. Ukhuwah in progress. Senyum lagi.
Tiba-tiba, teringat sesuatu. Paksa salah seorang sahabat sayang untuk memberitahu. Dan kemudiannya, terdiam lagi. Berita yang lebih kurang sama. Cuma daripada dia yang lainnya pula.
Dua berita mengejutkan di petang hari. Apakah ini?
Entry yang bersifat sangat peribadi. Namun harapnya mereka-mereka itu akan lebih memahami setelah membaca ini. Biidznillah jua. Tarik nafas dalam-dalam sebelum mula baca, moga meresap terus ke dalam hati.
Pertama, syukran kathir. Dalam sekian ramai akhawat dan muslimat, diri ini yang menjadi pilihan. Tak tahu rasa apa yang ingin dirasakan. Barangkali segan dan malu kerana pasti yang mereka lihat pada saya merupakan kebaikan yang membuatkan mereka berfikiran sedemikian rupa.
Namun, ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT itulah yang menutupi segala aib-aib saya daripada pandangan entum. Kerana jika tidak, nescaya kalian tidak akan sanggup untuk memilih diri ini untuk mendampingi kehidupan kalian apatah lagi untuk melengkapkan separuh agamamu itu.
Terlalu banyak yang kurang pada diri ini. Tidak perlu untuk saya senaraikan satu persatu kerana itu hanyalah satu suicidal attempt yang tidak memberi apa-apa manfaat untuk diri ini.
Ya Allah. Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah. Jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka.
Pihak yang satu itu menggunakan pendekatan yang baik. Alhamdulillah. Jika tidak, saya sendiri bakal malu alah dengan situasi tersebut. Menggunakan kakak senior sebagai perantara. Namun sedikit silap pada caranya, membuatkan saya kurang senang.
Pada mulanya saya sekadar mendengar dan menerima. Dalam diam, satu bisikan halus muncul jauh di sudut hati saya. Bisikan yang ingin dirinya didengari dan diberi perhatian. Tapi, saya teruskan dengan mendengar dan menerima. Bisikan itu saya abaikan.
Namun, kemudian merasa sesak digesa dan dipaksa memberikan jawapan dari pihak yang satu lagi. Siapalah saya untuk menentukan. Sedangkan saya masih di bawah tanggungannya ayah. Mana mungkin saya dapat memberikan jawapan sesingkat ini.
Dan akhirnya bisikan itu meletus menjadi rasa yang sukar saya ungkapkan. Barangkali amarah. Barangkali kecewa. Barangkali sedih. Hati saya mulai berbicara. Diri ini baru sahaja hendak melangkah, merangkak, berjalan menuju cinta Allah dan mahabbatun Nabi.
Allahumma inni nas'aluKa hubbaKa, wa hubba man yuhibbuKa, wal 'amalalladhi yuballighuni hubbaKa.
Allahummarzuqna mahabbatan Nabi fi qulubina.
Mujahadah mengosongkan hati daripada yang tiada hak dan kemudian mengisinya perlahan-lahan dengan rasa mahabbah itu. Isiannya saja masih belum cukup penuh. Apakah mahu diganti dengan yang lainnya? Mana mungkin. Tidak. Saya tidak mahu. Bukan ini masanya. Apakah kalian memahami?
Sungguh, sejak kebelakangan ini, tenang dan bahagia mengisi jiwa saya. Tatkala nikmat yang sekian banyak itu hadir, terasa rahmah Allah itu begitu dekat dengan diri ini. Tatkala kesedihan, kebuntuan dan tiada tempat untuk dituju, Dia selalu ada untuk menghibur. Ayat-ayat cinta dari-Nya langsung sahaja mengubati segala resah dan gelisah. Terasa diri benar-benar dijaga dan diperlihara oleh-Nya. Terasa diri ini sentiasa diperhatikan-Nya. Ibadah-ibadah yang dahulunya kosong kini mula berisi dan terisi dengan rasa itu. Rasa yang sukar untuk saya ungkapkan.
Dan sungguh, tidak pernah saya merasakan manisnya kecintaan kepada Sayidina wa Habibina Muhammad SAW sebegini rupa. Biarpun secebis rasa kecintaan itu hadir, sudah cukup membuatkan saya berasa nikmat merindui dan mengasihi insan agung, kekasih-Nya yang mulia. Biarpun sedetik rasa kecintaan itu menyapa, sudah cukup membahagiakan sekeping hati yang dahulunya gersang dibajai dengan keduniaan yang tidak pernah lekang.
Ya, hati ini dahulunya gersang dan tidak ingin ianya kembali gersang. Apakah kalian memahami?
Jadi, pinta saya, hentikan. Ya, kamu berdua. Dan mungkin yang lainnya. Kerana ini bukan masanya. Bukan juga ketikanya. Begitu banyak akhawat yang lainnya, yang lebih pantas dan layak untuk kalian berdua, yang jauh lebih baik daripada saya yang tiada apa-apa.
Sungguh, jujur saya katakan kalian adalah pemuda-pemuda Islam yang masing-masing sangat bersemangat dan berwawasan untuk mengembalikan kegemilangan Islam di tanah air ini, bahkan masing-masing juga sangat hebat di dalam bidang masing-masing, berjuang demi matlamat yang satu. Hebat dalam dakwah dan tarbiyah, hebat juga dalam bidang lainnya. Saya yakin, tidak sukar untuk kalian mendapatkan akhawat yang solehah dan muslihah untuk kalian. Saya doakan yang terbaik buat kalian. Maaf seribu kali maaf juga, buat ibu kalian berdua. Sampaikan salam saya untuk ibunya kalian dengan lafaz Assalamualaikum.
Maaf. Maaf. Maaf. Semoga kalian memahami. Jazakumullah.
::Tuhan, izinkan aku jatuh cinta pada orang yang tepat, di waktu yang tepat.
Kerana hatiku cuma satu, hanya kepada dia yang halal buatku::
p/s: Tidak ingin menyesakkan fikiran dengan permasalahan ini namun tetap sahaja menjadi buntu fikiran ini sehingga sukar untuk tidur. Maka, entry ini saya karang. Semoga meresap terus ke hati-hati entum. Semoga entum memahami bicara saya yang masih lagi belum matang dan keanak-anakkan ini. (Bak kata akak senior, saya ni macam budak-budak! Sungguh tak layak lagi nak bergelar seorang tunangan mahupun isteri.T.T) Asif.
p/s: Dont worry if your heart hurts today. Hearts change everyday. And He is the turner of hearts. My favourite quotation ---> [2:216]
p/s: Dont worry if your heart hurts today. Hearts change everyday. And He is the turner of hearts. My favourite quotation ---> [2:216]

