Sabar = Syurga

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Berlagak kuat. Kononnya. 

Tapi kemudian.

Lemah. Putus asa. Hilang harapan. Sedih sendiri. 

Lalu ini jawab-Nya.

"Maka apabila engkau hendak membaca Al Quran, mohonlah perlindungan kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk. Sungguh, Syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan." (Surah An Nahl, 16:98-99)

Fatin, jangan terpedaya. Syaitan itu licik. Sangat licik. Dua ciri manusia yang takkan terpengaruh; beriman dan bertawakal. Sudah benarkah keimananmu? Sudah cukup bertawakkalkah?
Dan sambung-Nya lagi.

"Katakanlah, Rohulkudus (Jibril) menurunkan Al Quran itu dari Tuhanmu dengan kebenaran, untuk meneguhkan (hati) orang yang telah beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang yang berserah diri (kepada Allah)." (Surah An Nahl, 16:102)

Diam, tak terkata. Sudah cukupkah berserah diri kepada Dia? Al Quran sebagai peneguh hati, petunjuk dan penyampai busyra. Moga tercapai.
Dan disambung lagi.

"Dan bersabarlah dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap mereka dan jangan bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh, Allah beserta orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah An Nahl, 16:127-128) 

Masih ingat kan, kisah wanita syurga itu.

Ketika dia mendatangi Rasulullah SAW, lalu diceritakan tentang dirinya yang menghidap sawan dan meminta supaya Rasulullah SAW mendoakan kesembuhannya. Kata Rasulullah "Jika kamu ingin aku mendoakan kesembuhanmu akan aku doakan. Dan Allah akan menyembuhkanmu. Tetapi jika kamu bersabar, Allah akan memberikan syurga buat kamu." Balas wanita itu, "Aku akan memilih syurga ya Rasulullah." Sambungnya lagi, "Ya Rasulullah, aku ini wanita tua dan setiap kali aku mengalami sawan, auratku akan terdedah. Doalah supaya auratku tidak lagi terdedah apabila aku diserang sawan." Lalu, Rasulullah SAW mendoakannya. Wanita itu terus menghidap sawan tetapi auratnya terjaga setiap kali diserang sawan. Wanita itu hidup selepas kewafatan Nabi. Dan ketika di bawah pemerintahan Sayyidina Umar r.a, beliau pernah mengatakan "Kamu ingin melihat wanita syurga, Wanita tua itu. Dia wanita syurga." Kerana Rasulullah SAW telah menjanjikan syurga buatnya. 

Syurga. Balasan kesabaran. 

Pasti dan pasti. Dalam ingatanmu.

"Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahu." (Surah Al Baqarah, 2:216)

Ingat dan ingatlah, boleh jadi di sebalik musibah ada nikmat, dan di sebalik nikmat ada musibah

Musibah itu, walau sekadar tusukan duri, adalah merupakan kaffarah. Kaffarah buat hamba yang tak pernah henti dari melakukan dosa, buat hamba yang seringkali lupa, seringkali berbuat salah dan silap. 

Tak tahu apa untuk didoa. Dia Lebih Tahu. Jadi, hanya berdoa supaya diberikan apa yang baik bagi-Nya, apa yang baik pada pandangan-Nya, apa yang baik di sisi-Nya. 

Dan tadi, air mata ini mengalir. 

Bicara hati bertanya pada Yang Maha Mengetahui "Untuk apa air mata ini ya Allah?" 

Bukan tidak redha. 
Bukan juga tidak percaya. 

Lalu, untuk apakah?

"Ya Allah, aku tidak meminta supaya diangkat takdir ini, tetapi aku memohon supaya dilembutkannya dan diberikan ku kekuatan untuk menghadapinya."

Wallahu'alam. 

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani