Ghumaisyok Binti Milhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Siapakah Ghumaisyok Binti Milhan? Beliau wanita bijak. Beliau wanita cerdik.

Pada waktu Rasulullah SAW baru sahaja sampai daripada hijrah Baginda daripada Kota Makkah ke Madinah, ramai orang di Madinah menyerahkan barang-barang kepunyaan mereka untuk dihadiahkan kepada Rasulullah SAW. Ghumaisyok Binti Milhan memikirkan tentang apa yang boleh beliau hadiahkan kepada Baginda Nabi. Beliau merupakan hartawan Madinah, dan kelihatannya semua yang ingin dihadiahkan kepada Baginda menurutnya adalah biasa-biasa sahaja baginya.

Lalu, beliau mendapat satu idea. Beliau ingin menghadiahkan sesuatu yang paling berharga di dalam hidupnya. Ghumaisyok binti Milhan kemudian hadir bertemu Rasulullah SAW. Beliau turut membawa anaknya yang masih kecil. Anak kecil itu berlari-lari di hadapannya dengan rambut yang terurai di dahinya.

"Wahai Rasulullah, semua lelaki dan wanita Ansar telah memberikan hadiah kepada tuah. Namun, saya tiada apa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini. Ambillah dia. Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu."

Dihadiahkan kepada Baginda SAW anaknya yang masih kecil, Anas Bin Malik yang ketika itu berusia 10 tahun. Beliau menyerahkan anaknya untuk berkhidmat kepada Baginda Nabi. Hakikat sebenarnya, beliau memberikan Anas Bin Malik peluang keemasan untuk ditarbiyah langsung daripada Baginda Nabi SAW. Hasil didikan dan tarbiyah langsung daripada Rasulullah SAW.

Disebutkan doa Nabi SAW untuk Anas Bin Malik, supaya diperbanyakkan keturunan, supaya diperbanyakkan harta dan dipanjangkan umur beliau dan Allah SWT memakbulkan doa Baginda SAW. Anas Bin Malik hidup sehingga berusia 103 tahun, mempunyai keturunan yang ramai di mana anak dan cucu lelakinya sahaja hampir mencapai seratus orang dan menjadi orang Ansar yang paling kaya.

Ghumaisyok Binti Milhan juga merupakan pemilik mahar termahal di dunia ini. Tidak ada dan bahkan tidak akan ada yang setanding maharnya dengan beliau. Beliau menerima banyak lamaran dan pinangan namun ditolaknya secara baik. Dan ketika datang Abu Talhah untuk meminang beliau, Ghumaisyok binti Milhan akur bahawa beliau tidak boleh menolak lamarannya Abu Talhah kerana beliau merupakan seorang yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat. Namun, ketika itu Abu Talhah masih lagi belum memeluk Islam. Lalu, Ghumaisyok Binti Milhan menjawab;

"Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau."

Kemudian, Abu Talhah menemui Rasulullah SAW dan mengucap kalimah syahadah. Lalu dikahwininya Ghumaisyok Binti Milhan bermaharkan keislamannya. Inilah mahar terindah dan takkan dapat tertanding dengan mahar yang lainnya.

Beliau dikahwini dengan mahar Islamnya Abu Talhah. Tiada emas, perak, mahupun harta material yang lainnya. Alangkah indahnya akhlak wanita solehah ini sehinggakan terdapat hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW mendengarkan suaranya di dalam syurga. Allah.

Nama lain bagi Ghumaisyok Binti Milhan ialah Ummu Sulaim. 

- Kisah menusuk kalbu ini diolah daripada penyampaian Al Fadhil Ustaz Hazri Al Bindany di Maahad An Noer, Janda Baik pada 16 Mei 2014.

Allahu'alam.

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani