Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Pertama.
Sewaktu meeting final touch (meeting final dan pertama saya) untuk Mahabbah Night baru-baru ini, sewaktu bersama rakan sebiro membentuk halaqah dan kemudian memulakan sesi taaruf. Yang satunya, kos Al Quran dan Sunnah, yang lainnya Usul Fiqh, kemudian Al Quran dan Sunnah, kemudian juga Al Quran dan Sunnah. Masha Allah.
Tiba giliran saya, Bimbingan dan Kaunseling. Rasa diri ini, kecil. Beruntung dan berbahagianya kalian mempelajari bidang agama. Setiap masa, setiap ketika diingatkan tentang Dia. Kalian belajar lebih mendalam sedalam-dalamnya tentang Islam, tentang agama kita, agama dari Dia, agama yang dibawa oleh Rasul kita. Sungguh, saya ghibtah. Dan rasa diri ini, kerdil.
Kedua.
Ibrah dalam pengangkutan awam. Terharu. Sehingga bergenang air mata saya. Pagi itu, tren agak sesak. Mula menaiki tren dari Gombak, tidak terlalu ramai. Tapi tetap sahaja tiada tempat duduk yang kosong. Mata saya tertarik pada seorang kakak yang tiba-tiba bangun dan menawarkan tempat duduknya kepada seorang akak yang lain.
Langkah akak itu sangat lemah. Saya kira barangkali dia tidak sihat, mukanya pucat (saya tidak melihat wajahnya kerana beliau membelakangi saya) maka kakak itu tadi kasihan lalu diberikan tempat duduknya. Tekaan saya meleset, rupanya akak itu tadi sarat berbadan dua. Masha Allah.
Entah. Saya jadi terharu. Berusaha sekuat mungkin menahan air mata daripada jatuh.
Tidak lama kemudian, semakin sesak. Tiba-tiba ada seorang wanita Tionghua bangun. Eh. Beliau menawarkan tempat duduk kepada seorang kakak yang baru sahaja masuk. Kakak itu juga mengandung. Masha Allah. Sekali lagi, bergenang air mata. Saya pula yang lebih-lebihnya terharu. Dan tidak lama kemudian, seorang wanita Tionghua juga bangun. Eh, ada kakak mengandung yang lain. Kali ni tak sempat nak terharu sebab tak perasan situasi tu sangat. Tapi sungguh saya terkesan.
Melihat kepada tempat duduk tersebut yang pada mulanya diduduki dua wanita berbangsa Cina dan dua wanita Melayu. Tapi pada akhirnya, semuanya wanita Melayu yang mana dua daripadanya adalah akak-akak yang mengandung tadi. Dua wanita Melayu yang lainnya sibuk dengan telefon mereka sehingga tidak cakna akan situasi yang sedang berlaku sebelumnya. Oh bangsaku. Agak sedih di situ.
Dan selepas dua wanita Melayu itu turun, seorang akak terus datang dan duduk di tempat mereka. Akak itu juga mengandung. Kasihan, pasti tiada siapa yang memberikan beliau tempat duduk sewaktu bersesakkan tadi. Pertama kali, empat wanita mengandung bersama saya di satu coach yang sama. Saya sekadar memerhati. Mengambil ibrah di dalam diam.
Yang saya turut terkesan, pada malamnya saya dan sahabat ke MTDM. Di dalam bas Rapid dari UIA, kerusi awal diduduki oleh brothers foreigner. Seorang daripadanya yang barangkali daripada Afrika kebetulan bertemu sahabatnya yang berbangsa Arab di dalam bas tersebut. Sahabatnya berdiri di bahagian belakang bas manakala brother tersebut di tempat duduknya di hadapan. Mereka bertutur dalam bahasa Arab dari kejauhan. Walaupun saya tidak dapat menangkap apa yang dituturkan mereka namun melalui gerak badan mereka, saya memahami.
Brother yang sedang duduk itu menawarkan tempat duduknya kepada sahabatnya itu. Sahabatnya menggeleng keras. Tidak mengapa. Tidak lama kemudian sahabatnya itu sudah laju sampai di hadapan brother tersebut, menahan bahu brother tersebut, tidak membenarkan brother tersebut bangkit daripada duduknya. Allah. Baik sekali hati brother tersebut. Dan juga sahabatnya. Air mata mula bergenang. Tak boleh tengok any act of kindness. mesti nak terharu lelebih. T.T
Bertambah terkesan, sewaktu tempat di sebelah brother tersebut kosong kerana orang sebelumnya sudah turun dari bas, brother tersebut laju mempelawa sahabatnya duduk. Mereka bersembang, rancak. Kemudian, telefon berbunyi. Telefon brother tersebut. Dia mengeluarkan telefon daripada kocek seluarnya tetapi tidak terus mengangkat. Dibiarkannya sehingga tamat nada dering. Beliau menghormati sahabatnya yang waktu itu sedang bercerita kepadanya. Allah Allah.
Hanya selepas telefon itu berbunyi buat kali kedua, si sahabat itu mempersilakan brother tersebut menjawab, baru beliau menjawab panggilan yang diterimanya itu. Dengan muka yang serba salah kerana memotong bicara sahabatnya. Allah. Indahnya akhlak tuntunan Islam. Terharu sangat-sangat. Indahnya Islam mengajar umatnya berakhlak dengan akhlak yang mulia. Waktu di dalam bas itu, saya teringat akan satu firman-Nya;
"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." - Surah Al Hashr : 9
Wallahu'alam.
