Bergantung Tanpa Kecewa.

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Ada waktu, saya sedih. Saya bukanlah seorang yang kuat setiap masa. Saya adalah seorang yang akan berlakon kuat sepanjang masa. Saya sentiasa berjaga-jaga, agar sesiapa pun tidak akan menyangka yang saya sedang kelemahan.

Saat-saat saya sedih, maka saya akan mencari tempat bergantung. Dahulu, saya pernah meletakkan tempat bergantung saya kepada ibu bapa. Sampai satu jangka masa, ibu bapa saya tidak berapa hendak mendengar aduan saya. Kemudian, saya bertemu dengan beberapa orang guru yang mengambil berat. Sampai juga satu masa, mereka tidak dapat mendengar aduan saya. 

Tidak lama kemudian, saya sandarkan kebergantungan saya kepada sahabat. Mengikut pemikiran naif saya, sahabat akan bersama kita susah ataupun senang. Tetapi tidak juga. Sebaik-baik sahabat yang saya jumpa, belum lagi rasanya ada yang dapat menyahut saya setiap masa. Akhirnya saya tiada tempat untuk mengadu apabila bersedih. Saya sentiasa rasa tiada sesiapa yang faham, tiada sesiapa yang boleh membantu, tiada siapa yang boleh saya gantungkan harap saya kepada dia. Benar-benar tersudut di satu sudut yang sempit. 

Kepada siapakan yang sepatutnya saya bergantung dan serahkan segala kepercayaansaya kepadanya?

Saya tercari-cari jawapan kepada soalan ini, suatu masa dahulu. Saya fikir, ramai yang berfikiran seperti saya. Apabila kelemahan, mencari tempat untuk bersandar, tetapi tidak berjumpa. Akhirnya hanya gundah, resah, sugul, tekanan, semua itu menghimpit jiwa. Hidup jadi tidak keruan dan terumbang ambing. 

Allah.

Itulah jawapan yang saya jumpa. Setelah saya berfikir panjang dan secara mendalam, tiada tempat yang boleh saya sandarkan secara benar, penuh keyakinan, tanpa keraguan selain Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

"Demikianlah (kebesaran Allah), Dialah yang hak, dan apa sahaja yang mereka seru selain Dia, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Al Hajj 22: 62)

Sebagai manusiayang saban waktu akan diuji dengan pelbagai cubaan, dugaan, cabaran dan masalah, maka tempat bergantung yang ampuh amat diperlukan bagi menjamin penerusan kerja di samping kekuatan yang meluap-luap.

Justeru, kita perlu bergantung kepada yang tidak akan lemah, kita perlu bersandar kepada yang tidak akan bengkok, kita perlu percaya kepada yang tidak akan menipu dan meninggalkan kita. Kekuatan, yang akan mneyahkan kita daripada kelemahan, hanya akan datang daripada aslinya kekuatan. Kekuatan yang asli hanyalah kekuatan Allah SWT sebagai Pencipta kekuatan. Segala kekuatan di dunia ini, yang ada pada gunung, yang ada pada manusia, yang ada pada haiwan, dan segala makhluk di alam ini, hanyalah percikan kecil kekuatan-Nya. Kepada Dialah sepatutnya kita menggantungkan harapan kita. 

"Allah yang menciptakan kamu, kemudian memberikan kamu rezeki, lalu mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu semula, adakah antara mereka yang kamu sekutukan dengan Allah itu dapat berbuat sesuatu sedemikian itu (sebagaimana yang Allah lakukan)? Maha Suci  Dia dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka persekutukan." (Ar Rum 30: 40)

Malah, Allah SWT tidak akan lemah dengan masalah, tidak akan luput dengan waktu, tidak akan sugul dengan ujian. Dia adalah Pencipta kepada semua perkara, dan Dia ridak akan terganggu dengan apa perkara sekalipun. Tiadalah wujud pada-Nya masalah. Malah, masalah itu wujud adalah kerana Dia mahu mewujudkannya. Jika Allah katakan kepada masalah itu supaya menghilang, maka masalah itu akan menghilang.

Jadi, Allah sememangnya satu-satunya tempat yang layak untuk kita pinta kekuatan. Dia sahaja tempat pergantungan kita yang ampuh. Dia yang menguasai masalah itu, dan menurukan masalah itu untuk menguji hamba-hamba-Nya. Jika kita mahu kuat, mahu bangkit dari kelemhan, maka Tuan kepada kekuatan, Tuan kepada kelemahan, dan Tuan kepada masalah inilah yang patut kita cari. 

"Sesungguhnya Allah, Dialah Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh." (Adz-Dzariyat 51: 58)

Apabila kita kelemahan, kita akan suka mengadu. Apabila kita mengadu, kita suka akan aduan kita terjawab. Saya amat arid akan rasa sakitnya hati apabila kita mengadu, tetapi aduan kita tidak terjawab. Saya sudah banyak kali mengadu dan meminta belas kepada manusia. Sudah banyak kali saya dikecewakan dengan penerimaan mereka. 

Allah SWT tidak begitu. Dia tidak lengah. Apabila kita mengadu kepada-Nya, secara tidak langsung kita akan merasa tenang dan lapang. 

"Dan milik Allah meliputi segala rahsia langit dan bumi dna kepada-Nya juga segala urusan dikembalikan, maka sembahlah Dia dan bertawakallah kepada-Nya. Dan Rabb kamu tidak akan lengah terhadap apa yang kamu kerjakan." (Hud 11: 123)

Dia amat sayangkan hamba-hamba-Nya yang meminta. Sehingga Dia sendiri menawarkan kepada kita untuk meminta. 

"Dan Rabb kamu berkata, berdoakan kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan," (Al Mukminun 40: 60)

Dia jugalah yang meyakinkan kepada kita bahawa, Dia sentiasa dekat dengan kita.

"Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) berkenaan Aku, sesungguhnya Aku adalah amat dekat," (Al Baqarah  2: 186) 

Maka bukankah Allah tempat paling sesuai kita bergantung harap? Tempat paling sesuai untuk kita mengadu segala masalah? Dia adalah yang paling memberikan perhatian, Dialah yang akan mendengar tanpa jemu, Dialah Pemilik segala ketenangan, Dialah Pemilik kesusahan, Dialah segala-galanya. Bergantung kepada-Nya adalah satu pergantungan tanpa kecewa.

Anda tidak percaya? 

Apa kata anda cuba dahulu.

Rendahkan diri kepada Rabb kita ini.

Semoga Allah redha dan memberikan kekuatan kepada kita semua!

Mari menjadi hamba!

-Artikel ini ditulis oleh Saudara Muhammad Hilal Asyraf di dalam buku beliau, Batu-Bata Kehidupan. Semoga Allah meredhai beliau serta keluarga dan seterusnya menambahkan lagi ilmu dan kefahaman beliau agar dapat terus menyentuh hati-hati manusia melalui dakwah dan penulisan beliau. 

Ditaip teristimewa  buatmu sahabat, kekasih hatiku moga Allah menurunkan ketenangan kepadamu, melerai kekusutan milikmu, dan meneguhkan keyakinanmu kepada-Nya. Allahumma amin.

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani