Tazkiyah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Ahad lepas, sempat ke Surau As Shafie di Subang Jaya. Rindu jiddan akan Madrasah An Nur. Madrasah Tazkiyah. Madrasah penyucian jiwa.:)

Kali pertama sejak masuk sem ni. 

Seperti biasa, sendirian.

Sebelum bertolak, puas berfikir. Malah sudah dipertimbangkan berhari-hari sebelum. Kata sahabat, di Subang Jaya baru sahaja berlaku sesuatu perkara yang buruk kepada seorang wanita akibat travel bersendirian. Allah. Tipu kalau tidak ada rasa takut dan ragu. Ada. Bahkan sangat kuat menguasai diri. Sudah lama tidak ke sana. Baik-baik sahajakah nanti? Allahu 'alam. Namun, tetap sahaja diri dengan keputusan untuk pergi. Saya degil. Sila tahu itu. 

Sebaik sahaja menuruni mahallah. Melalui masjid. Berjalan dan terus berjalan. Pandang ke arah jalan tar, terlihat bayang-bayang seekor burung gagak. Tepat mendekati saya. Dan bukk! Adoi. Huhu. Sigagakhitam ketuk kepala dan kemudian terbang pergi. Aneh ini. Ini sangat aneh. Ngaa. Terus berjalan. Dan kemudian, bukk! Kena lagi. Ya Allah. Masha Allah. Sedihnya. Sigagakhitam, awak keliru antara saya dengan pokok ke? Saya manusia. Sigagakhitam, awak ingat saya sahabat awak ye, sebab saya serba hitam? Huhu.

Dan kali ketiga, saya semakin menjauh. Tetap sahaja sigagakhitam mengekori. Terbang mendekati dan kena lagi. Adeh. Kenapa sigagak? Kamu menakutkan saya. Dalam hati mula rasa tak sedap. Tak pernah-pernah. Awak tak nak bagi saya keluar ke? Risau. Saya baca Ayatul Kursi. Berulang kali. Sigagakhitam terbang lagi. Tapi hanya melepasi saya lantas hinggap di pohon kayu. Huhu. Allah nak uji himmah ke majlis ilmu nih. Fatin, tetapkan hati. Insha Allah. Insha Allah. Khair saja nanti. Positif!

Lama menunggu bas. Mesej Ayah minta izin. Ayah benarkan. Hati mula tenang. 

Seperti biasa, dari CFS kemudian turun di perhentian bas Jalan Persekutuan. Sudah terlalu lama sejak kali terakhir ke sana. Terimbas kembali kenangan bersama sahabat sayang, Amirah Hazwani. Juga bersama Kak Aisyah. Di jalan yang sama. 

Saya turun bersama seorang brother yang saya tidak kenal. Orang luar yang kebetulan turun di perhentian yang sama. Seperti biasa, agak lemah lutut nak melintas jalan. Tapi Alhamdulillah, brother itu malah memberi isyarat untuk saya melintas sebaik sahaja kereta mula berkurang. Mengekori di belakang. Dalam hati bersyukur jiddan. Allah SWT permudahkan. Dengan perantaraan orang luar itu. Semoga Allah SWT mengganjari dia.

Hampir setengah jam menunggu bas. Dalam diam mula memerah ingatan. Bas nombor berapa? Sudah lama tidak ke sana. Tekadkan hati, menanti bas U63. Ke Subang Mewah. Bas tiba.

"Summit. Berapa?" Saya bertanya kepada pemandu.

"Dua ribu." Dia dengan yakin menjawab.

Masha Allah. Dua ribu? Eh jap, dua ribu rupiah ke? Saya di Malaysia kan. Bukan di Indonesia. 

"Berapa?" Saya bertanya sekali lagi, meminta kepastian.

"Dua ribu." Tetap dengan jawapan yang sama. Dan kemudian dia tergelak kecil. "Dua ringgit."

"Owh." Saya tersenyum. Dua helai not seringgit dihulurkan. Boleh pula bergurau driver tu. Dan boleh pula Fatin Nuradilah was-was takut tersilap negara.

Tiba di Summit. Menunggu lagi bas di perhentian bas. Saya tidak ingat nombor bas. Yang saya ingat ada huruf T. Allah. Gimana ni? Tunggu dan terus menunggu. Bas muncul. T532. Ya, ini dia. Saya ingat. Betul dah. Naik dan kemudian turun di hadapan Mydin. Nah, sekarang perlu berjalan. Jalannya masih segar di ingatan. Berjalan sendirian. Di telinga terletak kemas ear phone MP3. Suara Muhammad Taha Junaid kedengaran membacakan surah-surah pilihan. 

Semakin dekat dengan surau. Hati berdebar. Jam hampir menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Masih kosong lagi. Yang ada hanyalah kelibat brothers mengambil wuduk dan membuat persiapan untuk majlis dimulakan. Melangkah masuk ke ruangan muslimat. Masih kosong. Saya mengambil tempat. Dalam hati bersyukur jiddan selamat sampai. Gembira. Rindu terlunas. 

Si kecil Nurin Najwa dan sahabatnya masuk ke ruangan muslimat. Saya senyum. Mereka turut tersenyum. Bahagia. 

"Teman akak ambil wuduk boleh?" Saya bertanya pada mereka.  

"Boleh!" Nurin Najwa menjawab. Comel.

Pergi ke tempat mengambil wuduk. Air tiada. Suara Ustaz Azian Bin Man kedengaran memulakan masjlis. Kami masuk semula ke dalam surau. 

Ya Allah, sungguh sudah lama tidak mendengarkan suaranya Ustaz. Masuk sahaja, Ustaz sedang menafsirkan Surah An-Nisa, ayat 24-25. Dan kemudian, semasa mensyarahkan tafsir ayat tersebut, Ustaz membacakan hadis tentang dinikahi wanita kerana empat perkara. Setiap satu disebutkan oleh Ustaz. 

Kemudian Ustaz menceritakan tentang kisah Bilal Bin Rabbah yang diseksa dengan teruk oleh tuannya yang kemudiannya dibeli oleh Sayidina Abu Bakar untuk dibebaskan. Terharu rasanya. Sayidina Abu Bakar dicerca dan dicemuh oleh kaum keluarganya kerana telah membeli Bilal dengan harga yang sangat mahal malah hamba Sayidina Abu Bakar juga  telah ditukar ganti dengan Bilal. Bukankah sangat merugikan, bagi padangan mata mereka. Di saat Sayidina Abu Bakar menghadapi segala cercaan dan cemuhan, rahmahnya Allah SWT memujuk hati Sayidina Abu Bakar dengan turunnya Surah Al Lail. Sweetnya Allah.^^

Tamat majlis. Habib Najmuddin memaklumkan ada jamuan aqiqah daripada seorang muslimin yang baru sahaja dikurniakan seorang anak perempuan. Wah, syukur. Bertuahnya jadi anak kecil yang baru lahir itu. Didoakan oleh setiap orang yang hadir dan lebih-lebih lagi oleh Habib Najmuddin di majlis yang penuh berkat, taman daripada taman-taman syurga. Semoga membesar menjadi anak yang solehah dan mukminah.

Teringat Nur Hanan. Di rumah Tok, pada waktu yang sama sedang berlangsung kenduri kesyukuran sempena hari lahir Hanan dan juga tahlil untuk arwah Tok Wan. Dalam hati, doakan juga yang baik-baik untuk Hanan. Setiap yang didoakan oleh Habib untuk anak kecil itu, semoga makbul jua buat si kecil Hanan. Amin amin. 

Kemudian, bergerak balik. Berjalan lagi. Ke Mydin. Berjalan di belakang bhaiya-bhaiya Mydin. Kalau tukar uniform pakai uniform Mydin, boleh dah join the group. Hee. Di pertengahan jalan, terasa ingin melihat jam. Tapi, tiada. Jam hilang. Sah, tertinggal di tandas madrasah. Sewaktu air di tandas surau tiada, kami menggunakan tandas pelajar madrasah untuk berwuduk. Allahu Allah. Jam itu pasti masih lagi di dalam tandas madrasah tersebut. 

Rasa nak menangis. Jam itu sudah lima tahun bersama saya. Pemberian Ayah sempena keputusan PMR saya yang cemerlang, Alhamdulillah. Allah. Jam itu. Tak terkata apa yang dirasa. Mesej pada sahabat. Dia mengingatkan, barangkali Allah ingin menguji. Allah dah bagi banyak nikmat, tiba masa untuk Dia menguji. Sesekali diuji. Tapi3, Ayah hadiahkan jam tu. Dah putus, tercabut tali pun pakai lagi. Dan baru sahaja Ayah gantikan dengan tali baharu, kini hilang. Sedih. 

Hujan rintik mulai turun. Naik sahaja teksi, hujan lebat mencurah-curah.  Langit sedang menangis. Saya pun ikut menangis. Terlalu sayangkan jam yang  tertinggal itu. Memujuk diri. Pasti ada hikmahnya. Pasti. Dari KTM ke KL Sentral. Di KL Sentral, membantu dua orang pelancong mat salleh. Mereka ingin ke Pasar Seni. Belikan token biru. Tunjukkan jalan. Senyum. Terubat sedikit hati. 

Tiba di LRT Universiti. Bergerak pulang ke CFS. Hati masih agak berat dengan kehilangan jam. Mesej pada Ayah. Kata Ayah, sedekahkan saja. Kepada siapa yang menjumpainya. Insha Allah. Sekarang ini, menggunakan jam yang dihadiahkan oleh sahabat. Insha Allah, hati sudah redha. 

Terfikir, barangkali sebelumnya, sedang dalam perjalanan itu, saya ini sepatutnya sudah ditimpa dengan bala yang lebih teruk lagi. Namun, kerana rahmahnya Allah SWT, diringankan bala itu, dengan kehilangan jam itu. Benar bukan. 

Ustaz Muhadir Bin Haji Joll sering sahaja mengingatkan supaya membiasakan diri untuk bersedekah sebelum bermusafir, supaya dengan berkat sedekah itu, diringankan takdir yang bakal menimpa kepada kita. Siapa tahu dalam permusafiran itu, kita ditakdirkan akan menghadapi kemalangan yang dahsyat dan mungkin sahaja mengakibatkan luka yang parah. Namun, kerana berkat sedekah itu tadi, diringankan takdir itu sehingga kita hanya luka-luka kecil sahaja. Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." -Surah Al Hadid : 22-23.

Allahu 'alam.

p/s: 25 Mac 2013, Hari Lahir si kecil Hanan. Sanah helwah adikku sayang.:)




Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani