Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Awani mencapai remote control. Hatinya kini tidak lagi berasa seperti ingin menonton rancangan tersebut. Aneh sekali. Kerana itu rancangan kegemarannya dan kini rancangan itu sedang dalam klimaks ceritanya. Ah, hati itu memang raja. Dan raja itu sedang dibiarkannya bermaharajalela. Wajahnya kian suram. Senyumannya kian sirna. Oh hati, mengapakah?
Dia mematikan suis. Lalu bergerak menuju ke ruang tamu rumahnya. Melabuhkan duduk di atas sofa, menghadap tingkap rumahnya yang terbuka itu. Pandangannya seakan jauh sekali menembusi segala sesuatu yang ada di hadapannya. Air matanya bergenang. Dan dirasakan panas mengalir di pipinya. Air mata itu kemudiannya cuba ditahannya daripada terus mengalir. Bimbang diketahui ibunya.
Ah, hatinya kian sesak. Perasaannya semakin tidak tertahan. Dia bingkas bangun. Melangkah menuju ke biliknya. Dibiarkan bilik tersebut bergelap tanpa cahaya lampu. Perlahan-lahan dia duduk di hujung katil. Lama termenung sebelum dia teringatkan seseorang. Sahabatnya. Sahabat yang tidak pernah jemu dengannya walau sedetik pun. Sahabatnya itu kini bekerja sebagai pembantu kesihatan di salah sebuah klinik kesihatan di Bagan Datoh, Perak. Tangannya mencapai handphone Samsung berwarna hitam miliknya. Laju tangannya menaip mesej lalu dihantar kepada sahabatnya itu.
| Kenapa walaupun sudah dirawat, tapi penyakit hati ni masih datang kembali? |
Telefon bimbit diletakkannya di tepi. Dia kemudian memandang lama ke arah sebuah buku di sisinya. Ruangan katilnya ini memang kadang kala agak terisi dengan buku-buku yang dibacanya. Menyedari masih bergelap, dia bangun menghidupkan suis lampu kamarnya. Lalu kembali ke tempat duduknya sebentar tadi. Buku tadi lantas dicapainya. Dibuka pada helaian terakhir yang dibaca dan kemudian meneruskan pembacaan yang tertangguh.
Selepas membaca dua tiga helai muka surat, dia mengorak senyum. Hatinya terasa seakan diubati. Alhamdulillah. Sesuai sekali buku ini dengan tajuknya. Keajaiban Firasat, 63 Kisah Pengubat Jiwa. Buku ini memang sentiasa menjadi pengubat jiwanya tatkala memerlukan. Dia meneruskan pembacaannya. Jiwa yang terasa kosong itu mula terisi. Dadanya terasa semakin lapang. Resah di hati semakin hilang. Tenang semakin mendekati dan merapati jiwanya, memeluknya dalam kehangatan dan keindahan kisah-kisah para sahabat dan tabi' serta tabi'in yang dibacanya tika itu.
Pembacaan kemudiannya terhenti. Dia berpaling ke kiri, mencari-cari punca bunyi yang didengarinya sebentar tadi. Dan akhirnya ketemu, dia mencapai Samsung hitam miliknya. Panggilan daripada sahabatnya. Dia tidak menjangkakan respon sebegini cepat daripada sahabatnya itu. Dia ragu-ragu untuk mengangkat panggilan tersebut. Lalu, dibiarkannya terus berbunyi. Memecah kesunyian ruang kamarnya. Panggilan tamat. Dia menarik nafas lega. Tapi kemudian, panggilan itu datang lagi. Dibiarkannya lama sebelum panggilan kedua itu juga tamat.
Belum sempat dia meletakkan telefon bimbitnya itu, panggilan ketiga menyusul. Dibiarkannya lagi. Dia tahu sahabatnya itu pasti tidak akan membuat panggilan selepas panggilan yang ketiga ini tamat. Kerana kata sahabatnya, situasinya sama seperti kita memberi salam kepada tuan rumah, cukup tiga kali, sekiranya tuan rumah tidak menyahut salam, maka adalah lebih baik kita beredar dari rumah tersebut. Akhirnya panggilan ketiga itu tamat. Dia yakin sahabatnya itu tidak akan membuat panggilan lagi.
Namun, telahannya silap. Sahabatnya itu masih tetap menelefon. Berkali-kali walaupun tidak diangkatnya. Aduh, maaf sahabat. Dia masih belum mahu menjawab panggilan telefon tersebut. Dia tahu pasti sahabatnya itu sedang risau dan bimbang akan dirinya. Dengan mesej yang mempersoalkan tentang penyakit hati miliknya itu, tentu sahaja sahabatnya itu risau dan bimbang. Hampir sebelas panggilan dibuat oleh sahabatnya itu. Aduh. Sekali lagi maaf sahabat. Tiba-tiba, dia teringat mesej yang pernah dihantar oleh salah seorang seniornya. Dia mencari mesej tersebut, menambah sedikit kata-kata di hujungnya lalu dihantarnya kepada sahabatnya itu. Supaya sahabatnya itu tidak risau lagi.
| Hati yang baik itu al soleh. Bagaikan hujan menimpa tanah yang basah, menyerap lantas menyuburkan tunas-tunas pokok yang akhirnya memberi manfaat alam. Hati yang sakit itu al marid. Air hujan menimpa tanah yang menyerap tapi tidak subur lantas tidak membuahkan hasil. Hati yang mati itu al mayyit. Tidak menyerap langsung air apatah lagi membuahkan hasil? Hati itu raja. Ketahuilah bahagia itu datangnya dari hati. Sungguh hati ini sedang sakit. Takut nanti di dunia ini matinya dua kali. Mati hati sebelum mati yang hakiki. Hati ini sedang sakit. Meminta-minta agar disembuhkan. :'( |
Dia berharap semoga sahabatnya itu faham apa yang dimaksudkannya. Sakit hati yang kian meraja di dalam dirinya ini semakin meresahkan jiwanya. Dia takut hatinya yang sakit ini akan mati. Sungguh, dia takut. Sungguh dia tidak ingin itu berlaku. Dan sungguh, dia dahagakan tarbiyah, dia rindukan tarbiyah. Bantulah diri ini mencari penawar sebelum matinya sekeping hati miliknya. Seperti seorang pesakit meminta diberi preskripsi daripada doktornya, seperti itulah dia memerlukan bantuan dan pertolongan daripada sahabatnya itu. Kerana langkahnya sendirian sendiri ini kian lemah dan longlai seiring perjalanan masa. Kerana dirinya semakin rapuh diulit perjalanan waktu.
Awani tersenyum membaca balasan mesej dari sahabatnya itu. Pasti sahabatnya mengira dia menghidapi penyakit hati yang kronik itu. Tidak sahabat. Bahkan sakit hati ini lebih berbahaya daripada sakit yang zahir itu. Kau lebih tahu wahai sahabat. Maka, aku meminta bantuan daripadamu. Bantulah aku.
Ya Allah, bantulah aku menuju-Mu.
Ya Allah, bantulah aku menuju-Mu.


nak tengok sambungannya