Ibu-Ibu Osem!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Percaya tak kalau saya kata dulu-dulu kala, pernah diadakan sidang mesyuarat bagi membincangkan sama ada wanita adalah manusia atau bukan manusia. Bukan sekali, tetapi sidang mesyuarat tersebut diadakan sebanyak dua kali. Sidang pertama diadakan pada awal tahun 1400 Masihi manakala, sidang kedua diadakan 300 tahun kemudian iaitu pada 1746 Masihi. Subhanallah. 

Namun bukan itu yang ingin saya bicarakan dalam entri kali ini. Sahabat-sahabat boleh mengetahui cerita penuh berkenaan sidang tersebut dan hasil kesimpulan mereka di --> High Status of Women In Islam.:)

Dalam lecture tersebut, saya sangat tertarik dengan kisah mengenai dua orang ibu yang sangat hebat. 

Kisah pertama tentang seorang ibu yang akan merotan anak lelakinya dan menghantar anak lelakinya yang berusia enam tahun itu ke tempat latihan para pahlawan perang pada setiap hari. Pesan si ibu tersebut supaya anak lelakinya itu membersihkan kandang kuda para pahlawan tersebut dan menyediakan pedang mereka dan yang paling utama, si ibu berpesan supaya anak lelakinya itu memerhatikan para pahlawan tersebut berlatih dan belajar daripada mereka. Si ibu bertegas kepada anak lelakinya itu supaya jangan pulang sebelum malam tiba. Dan kemudian, anak lelakinya itu membesar sebagai pahlawan hebat yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis. Kegigihan si ibu itulah yang menjadi antara faktor kejayaan pahlawan perang hebat, Salahuddin Al Ayyubi. 

Kisah kedua tentang kecekalan seorang ibu membangunkan anak lelakinya seawal sebelum subuh, memandikannya, menyiapkan pakaiannya dan menghantar anaknya ke masjid. Ibu itu kemudiannya akan berpesan supaya anak lelakinya itu belajar dan menuntut ilmu di masjid tersebut dan jangan pulang sebelum malam tiba. Dan apabila anaknya itu pulang, si ibu tersebut akan menyiapkan makanan untuk anaknya, kemudian bertanya tentang apa yang telah dipelajarinya dan kemudian berjaga sehinggalah anaknya itu tertidur. Dan tidak lama selepas itu, anak itu membesar menjadi salah seorang ulama yang sangat masyhur dan hebat. Ulama yang menjadi guru kepada ribuan ulama bahkan menjadi pelopor kepada salah satu daripada empat Mazhab utama iaitu Mazhab Maliki. Bahkan anak tersebut iaitu Imam Malik  sendiri mengakui bahawa sebab utama beliau menjadi sehebat itu adalah kerana, ibunya.

Subhanallah. Kisah dua orang ibu yang sangat hebat. Menjadi asbab kejayaan dan kehebatan anak mereka. Lantas saya teringat kisah yang dikongsi oleh Ustaz Shaari sewaktu dalam kunjungan beliau memberikan ceramah di Pusat Asasi tidak lama dahulu. Kisah tentang ibu Sultan Muhammad Al Fateh yang akan menggenggam tangan anaknya itu sewaktu beliau kecil dan memimpinnya menuju ke Kota Kontantinople lalu dipesannya kepada anaknya itu bahawa kota itu harus ditawan olehnya. Seawal itu sudak ditanamkan di minda anak kecilnya itu untuk menawan kota yang kebal itu dan akhirnya anak kecil itu berjaya membebaskan Kota Konstantinople tersebut. 

Allah. Hebatnya dan besarnya peranan ibu-ibu itu tadi. Merekalah tangan-tangan menghayun buaian yang berjaya menggoncang dunia. Teringat saya pada seorang ukhti blogger yang saya segani, kata beliau dalam salah satu entri di blognya, Cita-Cita Yang Jauh, beliau dikatakan tidak mempunyai matlamat kerana tidak menyambung pengajian dan tidak juga bekerja. Namun, beliau bahkan mempunyai cita-cita dan matlamat yang jauh lebih qudus daripada sekadar mengejar harta dunia yakni untuk melahirkan penghuni-penghuni syurga. Beliau mendedikasikan hidupnya untuk anak dan suami yang tercinta. Membaca kisah beliau sewaktu mengandungkan anaknya membuatkan air mata saya mengalir. Masha Allah. Ibu yang sangat hebat. 


Gambar Hiasan.

Tidak kena rasanya membicarakan tentang ibu-ibu lainnya sedangkan saya juga mempunyai seorang ibu. Seorang ibu yang juga sangat hebat. Dahulu, saya sering saja kagum dan bangga apabila berbicara tentang ayah yang pernah berkhidmat sebagai pegawai pengaman PBB di Bosnia pada tahun 1995. Bosnia yang waktu itu sedang dalam pergolakan yang dahsyat dan ayah merupakan antara yang bertanggungjawab mengawal keamanan di sana. Pastinya saya merasa sangat kagum dan bangga dengan ayah. Namun, baru-baru ini kekaguman dan kebanggaan itu mulai beralih arah. Ada insan yang bahkan lebih hebat lagi selain ayah sewaktu itu. 

Siapa lagi kalau bukan emak yang ditinggalkan sendirian tanpa suami di tanah air ini. Emak yang pada waktu itu terpaksa menguruskan empat orang anak yang masih kecil tanpa suami di sisi. Sedangkan pada waktu itu, emak baru sahaja melahirkan adik saya, Faridzuan. Dan saya pada waktu itu baru berusia dua tahun. Menguruskan anak yang masih bayi, dan si kecil dua tahun yang banyak kerenah (uhuk-uhuk, tersedak), ditambah dengan abang-abang saya yang baru hendak mendaftarkan diri di tadika. Menguruskan anak-anak, keperluan makan pakai dan sebagainya. Masha Allah. Hebat. Mak memang hebat. Ayah yang pada waktu itu sangat risau akan keadaan anak-anak di Malaysia seringkali mengutus surat kepada emak dan emak pasti akan membalas dan mengatakan bahawa ayah tidak perlu risau, semua baik-baik sahaja. (TERbaca surat-surat tersebut..hee) 


Saya kemudiannya jadi terfikir. Sememangnya menjadi seorang ibu bukanlah tugas yang mudah. Cuti ini saya banyak menghabiskan masa di rumah, seharian di rumah memerhatikan mak mengasuh dan menjaga empat orang anak kecil. Si kecil Farah Dayana, Iman, Afnan dan Ain. Farah Dayana baru berusia setahun sebulan, Iman sudah menjangkau dua tahun, Afnan tiga tahun dan Ain empat tahun. Dan sememangnya saya lebih suka menghabiskan masa bersama si kecil Farah yang comel itu. Bermain dan mengacah-acah si  Farah yang sesuai dengan namanya, merupakan anak kecil yang sangat periang. Dengan gigi yang baru tumbuh dan sudah pandai bercakap walaupun tidak saya fahami bahasanya, namun sangat comel! Hehe. Iman, Afnan dan Ain masing-masing sudah agak besar dan banyak kerenah. Jika dahulu, Afnan agak senyap dan tidak berani dengan saya namun kini si kecil Afnan sudah berani mencari pasal dengan saya. Adehh. Nakal. 

Raya Aidiladha yang lepas, sewaktu di rumah nenek, sepupu saya, si kecil Haziq datang bermain di hadapan saya. Beliau kemudiannya datang bermain dengan saya dan gaya beliau yang agak lasak itu akhirnya menyebabkan kaki saya lebam gara-gara di'smack down' oleh Haziq. Pada minggu lepas pula, dalam perjalanan pulang dari ekspo, si kecil Hanan duduk di atas riba saya di dalam kereta. Saya bermain dengan Hanan dan beliau memperlihatkan aksi-aksi lasak dan akhirnya dushh.. satu hentakan terkena pada bawah dagu saya. Merasakan karat di dalam mulut, saya menyapu bibir dengan jari dan di bawah cahaya lampu di tengah jalan raya yang gelap, saya melihat darah pada jari saya. Adehh, bibir pecah. Hanan oh Hanan. Allahu Allah. 

Berhadapan dengan situasi-situasi tersebut, pastinya bukan marah yang menjadi penyelesaian. Bahkan saya diamkan sahaja peristiwa-peristiwa tersebut. Kanak-kanak itu merupakan ahli-ahli syurga bak kata Ustazuna Muhadir. Mendidik dan mengasuh anak-anak itu bukanlah tugas yang mudah, malah untuk mendidik dan mengasuh anak-anak dengan bijak dan berhikmah itu menuntut kesabaran dan ilmu. Teori itu mudah untuk diperkatakan, namun untuk mengaplikasikannya ke dalam kehidupan sebenar, hanya Allah yang tahu dugaan dan cabaran yang menanti. Bagaimanakah nanti agaknya apabila saya bergelar seorang ibu? 

Ustaz Nouman Ali Khan. Comel gambar nih.:)
p/s: Imam Muda Hassan pernah menyarankan supaya membaca buku Tarbiyatul Aulad hasil karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan sewaktu beliau hadir memberikan ceramah di Pusat Asasi. Masih lagi mencari-cari buku tersebut.


::Jikalau kamu mendidik seorang lelaki, kamu hanya mendidik lelaki tersebut. 
Namun, jika kamu mendidik seorang wanita, maka kamu mendidik seluruh generasi kamu::

2 responses to “Ibu-Ibu Osem!”

  1. Anonymous

    MAMAs are loved, cuz MAMAs are great ^^

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani