Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
New York, Amerika hebat dilanda Taufan Sandy. Sekelip mata rumah, sekolah, bangunan-bangunan ranap. Rumah-rumah ditenggelami air. Ramai yang terkorban. Malah, Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama datang ke New Jersey, melihat sendiri kerosakan yang diakibatkan oleh Taufan Sandy nih. Kawasan-kawasan yang terlibat turut diisytiharkan darurat.
Kecilkan sikit skop, pergi ke benua Asia kita nih. Di India, Taufan Nilam melanda Selatan India. Hujan yang berterusan menyebabkan rumah ditenggelami banjir. Kemusnahan teruk. Angka korban walaupun tidak seramai yang diakibatkan oleh Taufan Sandy, namun tetap juga ramai yang terkorban.
Kecilkan lagi skop, pergi ke negara kita sendiri. Di Sarawak (tanah kelahiran saya!) berlaku ribut yang menyebabkan kerosakan kepada rumah-rumah dan kerugian besar kepada penduduk-penduduk di Miri.
Allahu Allah. Tengok kat berita kemusnahan teruk yang berlaku baik di New York, India mahupun Miri, betul lah segala apa yang kita ada nih, semua milik Dia. Rumah yang kita ada, kereta, kemewahan, kekayaan apa-apa sahaja tak membawa makna walau satu sen pun saat-saat genting macam ni. Bukan boleh tolong selamatkan kita pun kalau dah Allah izinkan mudarat berlaku pada kita.
Sedih tengok ada yang menangis mengenangkan kenangan 40 tahun dia di rumah yang didiaminya hilang dalam sekelip mata akibat Taufan Sandy. Tengok segala kapal layar mewah milik penduduk-penduduk New York tuh, dari laut sampai naik ke darat, betul-betul terletak depan rumah, kapal layar yang harga beribu berjuta tu pun tak mampu nak menolong walau siapa pun pemiliknya. Subhannallah.
Teringat pernah terbaca, air yang pada kita tampak lemah. Kita guna untuk minum, mencuci dan sebagainya. Namun, jika diizinkan Allah, air yang tampak lemah yang sama itulah mampu untuk meranapkan segala apa yang ada, mampu menenggelamkan segala sesuatu dan yang tinggal, nothing. Dengan daya kuasa Allah, apa sahaja mungkin terjadi.
Teringat juga tulisan Hilal Asyraf dalam Batu-Bata Kehidupan, tajuk pertama dalam buku tersebut, Kita Lupa Dia Akan Murka. Ya, barangkali kita lupa, maka Dia mengingatkan kita. Andai sahaja kita memahami dan mengambil pengajaran daripadanya. Wallahu'alam.


