CATATAN HATI DI HARI LAHIR

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Sumber: CATATAN HATI DI HARI JADI oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi (diedit sikit untuk lebih feel pada diri hehe) 


Entah kenapa, di hari lahir kali ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:

“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”

Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.

Teringat pula kata Imam Ghazali:
“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.” 

Ya, hari ini ulang tahun kelahiranku. Sudah hampir dua dekad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belumpun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjangg umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata:

“Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap-harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan… terimakasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin inipunmasih dari terowong jiwaku yang gelap gelita.)…

“Marilah kita hidup…
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu…
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…
itu lebih bermakna!” 

Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning… “
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!


***

Sebaik sahaja mata terbuka, tangan mencapai handphone. Six new messages. Pelik. Kenapa dan sejak bila sebanyak ini mesej yang masuk. Dan akhirnya mula teringat. Owh, hari ini telah tiba. 

Inilah harinya. Permulaan kepada sebuah pengakhiran. Permulaan kepada pengakhiran usia belasan tahun saya sebelum menginjak ke umur dua puluhan Insha Allah pada tahun hadapan. Woha! 

Membaca mesej dari Emak, senyum terukir. Sungguh, hati ini rindu untuk pulang ke rumah.:')

Bahagia rasanya menerima mesej daripada sahabat-sahabat, masing-masing mendoakan yang terbaik untuk diri ini. Ada yang mendoakan diri ini panjang umur, dimurahkan rezeki, semua impian menjadi kenyataan, hidup dalam rahmat Allah dan tidak kurang juga yang mendoakn dipercepatkan jodoh dan dikurniakan suami, anak dan keluarga yang soleh dan solehah. Masha Allah. Tak cukup rasanya hanya sekali mengaminkan setiap doa daripada mereka itu. Amin amin amin ya Allah. Bahagia itu tiba, bila hati ini mengetahui yang diri ini tidak dilupakan di dalam doa-doa mereka. Syukur ya Allah. Semoga mereka juga menerima yang sama, apa yang mereka doakan itu ya Allah. Amin.:)

Sudah 19 tahun atau baru 19 tahun. Teringat tulisan Hilal Asyraf di dalam bukunya, Batu Bata Kehidupan lalu saya ambil dan ulang membaca. (Kata Syarihin kepada saya pagi tadi, 'Tak habis-habis dengan Hilal Asyraf dia.' huhu) Usia muda seperti ini (bukan perasan muda, huhu) adakah apabila dibicarakan tentang tanggungjawab, kematangan, keseriusan dalam hidup, melakukan sesuatu yang besar, maka jawapan yang diterima:

'Saya BARU 19 tahun.'

'Alah, saya ini BARU 19 tahun.'

Terasa masih muda. Seakan masih punya banyak waktu untuk dilengahkan dan dibazirkan. Sedangkan pada usia 18 tahun, Usamah Bin Zaid telah pun ditugaskan oleh Rasulullah SAW sebagai jeneral perang melawan tentera Rom. Sedangkan pada usia 21 tahun, Sultan Muhammad Al Fateh telah berjaya menakluk dan menawan Kota Konstantinople. 

Jadi, tatkala umur SUDAH menginjak 19 tahun, apakah yang telah saya lakukan selama hidup saya? Apakah yang telah saya capai sepanjang kehidupan saya 19 tahun ini? Apakah yang telah saya sumbangkan untuk agama saya? Allah..... apa yang ingin diberi sebagai jawapan?

Sesuatu berlaku beberapa hari lepas, menyebabkan saya mengatur semula perancangan kehidupan saya. Dan saya mula sedar sesuatu. Saya sedar, saya tidak sekadar ingin menjadi sayap kiri mendukung kebangkitan Islam. Saya ingin turut sama menjadi penyebab kepada kebangkitan Islam di bumi ini. Tidak besar tidak mengapa, asalkan ada usaha daripada diri ini. 

Jujur, saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis skrip. Waktu itu, hati ini seakan lelah dengan filem-filem dan drama-drama yang kononnya bercirikan Islam namun nyata hanya sekadar memakai topeng-topeng Islam. Hasrat murni yang pada mulanya ingin mempromosikan kecantikan, keindahan Islam menjadi sebaliknya apabila Islam yang disampaikan bukanlah Islam yang sebenar. Saya lelah dengan itu semua. Hati saya memberontak. Jadi, saya menyimpan tekad untuk membetulkan kesalah fahaman itu. 

Namun, kemudian, baru saya tahu Saudara Hilal Asyraf juga mempunyai misi yang sama seumpama itu dan beliau dalam langkah beliau ke arah merealisasikannya. Bahkan, Ustazah Fatimah Syarha juga sekarang sudah bergelar penerbit filem dan bakal menerbitkan filem hasil adaptasi novel beliau berjudul Cinta High Class. Masha Allah. Mereka lebih awal bergerak dan mula mengecap hasilnya. Oh, kerdilnya diri ini. T.T

Sedang merangka perancangan baru. Hidup sebagai hamba. Insha Allah.



::Tidak sama mukmin yang duduk dengan mukmin yang bergerak::

2 responses to “CATATAN HATI DI HARI LAHIR”

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani