Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Sampai di TBP, cari sekolah, lepas jumpa sekolah, pusing kanan dan cari Surau. Dari Surau terus ke rumah Nisa. Boleh tak cari nih?
Mesej Husna dibacanya berulang kali. Sekali-sekala dia menggaru kepala yang tidak gatal itu. Bingung.
"Husna ni pun satu, macam lah aku dah biasa je kat sini, main boleh cari tempat tu, tempat nih." Wildan mengeluh perlahan.
"Mana pulak TBP nih? Nak cari kat mana? Itulah, main terjah je. Kan dah sesat. Padan muka kau Wildan," Wildan memarahi diri sendiri. Marah rasanya dengan dirinya yang tidak melakukan persediaan secukupnya sebelum menerjah kawasan asing yang tidak pernah dijejakinya ini.
Handphone Samsung miliknya itu kemudiannya di masukkannya ke dalam poket seluar. Pandangan dialihkan memandang langit. Silau. Terik matahari membakar kulitnya. Panas. Peluh yang menitik dilap dengan sapu tangan. Wildan mencari tempat yang sesuai untuk duduk dan mencapai botol 100 Plus dari dalam beg lalu diteguknya bagi menghilangkan kering di tekaknya.
Tidak lama kemudian, Wildan menyedari sebuah teksi dari kejauhan, dia bingkas bangun menahan teksi tersebut. Teksi itu perlahan-lahan berhenti di sisinya. Pintu kereta Saga putih itu dibuka menampakkan seraut wajah seorang lelaki lewat 40-an dengan uniform putih miliknya.
"Assalamualaikum Pak Cik, saya nak pergi TBP boleh? Pak Cik tahu tak TBP kat mana?" Wildan bertanya kepada pemandu teksi tersebut.
"Waalaikumussalam nak. Ya, ya, kebetulan rumah Pak Cik memang kat situ. Meh Pak Cik hantarkan kamu. Pak Cik memang nak balik dah nih." Pak Cik itu menjawab dengan penuh mesra.
"Alhamdulillah Allah permudahkan. Terima kasih Pak Cik." Wildan tersenyum kepada pemandu teksi tersebut. Syukur, dipermudahkan. Hatinya girang.
"Anak ni nama apa? Orang mana? Tak nampak macam orang sini pun. Nak pergi rumah siapa kat TBP tu?" Soal Pak Cik tersebut memulakan bicara sambil matanya memerhatikan jalan dan kenderaan di hadapan, berkira-kira untuk mengambil selekoh kanan.
"Saya Wildan, Pak Cik. Dari KK. Ni kali pertama saya datang sini. Nak pergi rumah kawan Insha Allah," jawab Wildan ringkas.
"Jauhnya kamu datang. Ish. Ish. Rajin sungguh nak datang rumah kawan jauh-jauh macam ni,"
Wildan sekadar tersenyum. Rajin sebab membawa hajat Pak Cik.
***
"Inilah surau yang kawan kamu tu maksudkan rasanya. Rumah Pak Cik pun tak jauh dari sini. Kamu nak Pak Cik turunkan kamu kat mana? Sini atau terus ke rumah kawan kamu tu?" Soal Pak Cik tersebut sambil menurunkan brek tangan.
Mereka kini berada betul-betul di hadapan sebuah surau tidak jauh dari sekolah rendah di kawasan perumahan tersebut. Sama seperti yang Husna mesejkan. Wildan melihat jam di tangan. Pukul satu lima minit petang.
"Tak apalah Pak Cik. Saya turun kat sini je. Boleh saya Zohor terus kat sini. Rasanya dah tak jauh dah dari rumah kawan saya tu, nanti saya jalan je pergi rumah dia. Terima kasih Pak Cik. Berapa ringgit ye semua?" Wildan membalas.
"Tak apalah nak. Pak Cik halalkan. Lagipun ni memang jalan Pak Cik balik ke rumah. Tuh ha, rumah coklat tu la rumah Pak Cik. Dekat sangat. Kalau ada apa-apa, datang je rumah Pak Cik, Insha Allah Pak Cik tolong," Ujar Pak Cik sambil tangannya menunjuk ke arah deretan rumah di sebelah kiri surau.
"Lah, dekat sangat rupanya rumah Pak Cik. Hehe. Terima kasih banyak-banyak Pak Cik. Semoga Allah murahkan rezeki Pak Cik," Wildan berterima kasih kepada Pak Cik tersebut. Baik betul hati Pak Cik ni. Susah betul nak jumpa orang baik macam ni zaman sekarang, lagi-lagi kat KK.
Alhamdulillah Ya Allah.
***
Wildan menghabiskan bacaan lalu menutup Al Quran hijau kecil miliknya sebaik sahaja mendengar azan dilaungkan. Al Quran tersebut dikucupnya penuh kasih sayang mengharapkan Al Quran tersebut menjadi syafaat buatnya di akhirat kelak. Wildan kemudiannya meletakkan Al Quran tersebut di atas rak di sisi kanannya. Al Quran kesayangannya itu, pemberian dari dia.
Dia melihat kepada bilal yang sedang mengumandangkan azan. Lelaki berbaju melayu biru gelap dan berkain pelekat hitam itu barangkali sebaya dengan Pak Cik teksi sebentar tadi.
"Assalamualaikum," satu sapaan kedengaran dari belakangnya.
"Waalaikumussalam," Wildan tersenyum. Pak Cik teksi tadi. Panjang betul umur. Uniformnya juga sudah berganti dengan jubah putih.
Azan berakhir. Kedua-dua mereka kemudiannya mengambil tempat bagi menunaikan solat sunat rawatib.
***
"Kamu jadi imam boleh?" tanya Pak Cik teksi tersebut seusai solat sunat.
"Erk! Imam surau ni tak marah ke Pak Cik? Lagipun saya rasa, baik kita utamakan yang lebih berusia kat sini. Saya nih, mentah lagi Pak Cik," Wildan cuba menolak dengan baik. Bukan tidak mahu, tetapi segan kerana dia hanyalah singgah sebentar di sini.
"Insha Allah, Imam tak marah aih. Kami kat sini sangat alu-alukan anak-anak muda untuk imamkan solat jemaah. Pak Cik tengok kamu pun, Insha Allah Pak Cik tahu kamu layak untutk jadi imam. Mari cepat, imamkan kami," balas Pak Cik tersebut dengan senyuman di bibir.
Wildan mengalihkan pandangan, memerhatikan para jemaah yang lainnya. Mereka juga seakan setuju dengan cadangan Pak Cik tadi.
'Ramah dan baik betul orang kat sini.' Bisik hati kecil Wildan.
"Baiklah Pak Cik, Insha Allah," jawab Wildan sambil mengambil tempat di hadapan.
"Lurus dan rapatkan saf."
***

AllahuaAllah,
Imam muda :)
Berjuang untuk Islam, teruskan penulisan.
Jaga hati, iman dan solat.