~بسم الله الرحمن الرحيم
Pejam celik pejam celik dah selesai empat paper exam.
Insha Allah last paper, Physics 1 next Friday.
Pejam celik pejam celik dah selesai satu tahun pertama di CFSIIUM.
Insha Allah next Saturday, dah menjejak tanah Kepala Batas yang tercinta.
Simpan dulu cerita setahun yang penuh warna-warni.
Ahad lepas, talaqqi bersama Ustaz Muhadir Bin Haji Joll untuk semester III, 2011/2012 sampai ke penghujungnya. Sungguh saya sangat kagum melihat kesungguhan Ustaz yang berusaha mengadakan talaqqi pada hujung minggu bagi mengkhatamkan dan seterusnya mengijazahkan Kitab Taalimul Mutaalim karangan Syeikh Al Zarnuji kepada semua ahli pengajian terutamanya bagi senior yang bakal menamatkan pangajian mereka di CFSIIUM ini.
Pengajian bermula seawal 8.30 pagi dengan ketibaan ahli-ahli pengajian tidak henti-henti memenuhi setiap ruang yang ada di Annex 102 tersebut. Sementara menanti kehadiran Ustaz, bacaan Ratibul Haddad memenuhi ruang atmosfera bilik tersebut. Selesai bacaan Ratibul Haddad, kami kemudiannya berqasidah beramai-ramai. Best! (^-^)
Setelah Ustaz tiba, pengajian dimulakan. Seperti biasa, pengajian bersama Ustaz sangat santai dan tidak terlalu tegang. Ada sahaja kisah-kisah menarik yang dikongsi Ustaz bersama kami, ada sahaja lawak-lawak Ustaz yang membuatkan kami tidak kering gusi, ada sahaja nasihat-nasihat Ustaz untuk kami ambil sebagai pegangan dan teladan. Sungguh saya bakal merindui suasana sebegini sepanjang sebulan bercuti di rumah. T.T
Setelah hampir 2 jam menadah kitab, Ustaz memberikan kami rehat selama beberapa minit dan qasidah dilagukan bagi mengisi ruang waktu. Kebiasaannya pada setiap hari Ahad, saya dan seorang sahabat sayang fillah akan mengikuti pengajian talaqqi di Madrasah An-Nur di Pantai Hillpark bersama Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, Habib Najmuddin dan para guru yang lain. Talaqqi tersebut bermula pada jam 12.00 tengah hari dan biasanya kami akan bertolak seawal jam 11.00 pagi ke madrasah tersebut.
Jam menunjukkan pukul 11.35 pagi, Qasidah Tholama Asyku masih dilagukan. Hati sedikit gusar takut terlepas talaqqi di madrasah tersebut namun talaqqi bersama Ustaz Muhadir yang sudah kami hadiri sejak pagi tadi tidak mungkin kami tinggalkan begitu sahaja. Maka saya mengambil kesempatan menghantar khidmat pesanan ringkas kepada sahabat tersebut yang duduknya agak jauh daripada saya bagi mendapatkan kepastian.
"Dahulukan talaqqi Ustaz Muhadir kan? :) "
"Khair.:)"
Balasnya ringkas. Selesai rehat, kami meneruskan pengajian bersama Ustaz. Dalam Kitab Taalim Mutaalim ini, Syeikh Al Zarnuji ada menulis tentang adab-adab atau jalan-jalan menuntut ilmu bermula dengan niat hinggalah kepada memilih ilmu, guru-guru dan teman, kepentingan mengagungkan ilmu dan ulama dan pelbagai lagi jalan yang sebenar dalam menuntut ilmu.
Sungguh saya sangat tertarik akan kitab ini kerana ada terkandung syair-syair tentang ilmu yang sangat indah dan penuh bermakna. Syair gubahan ulama dahulu yang mana gaya bahasanya sangat indah dan terkesan di hati. Tidak ketinggalan turut terkandung syair dalam Bahasa Parsi yang dibacakan oleh Ustaz Muhadir. Ustaz tidak memahami Bahasa Parsi, apatah lagi kami yang sememangnya langsung tidak memahaminya. Namun, hebatnya kesungguhan Ustaz, Ustaz berazam ingin menghafaz syair Bahasa Parsi tersebut sebelum menamatkan pengajian talaqqi ini. Sungguh saya kagum.
Ustaz juga ada meminta kami menyalin kata-kata daripada Abdullah Ibnu Abbas yang bermaksud;
"Aku menghina diriku ketika belajar
aku menjadi mulia ketika mengajar."
Kata-kata yang ringkas namun mendalam maksudnya. Ketika belajar, kita menjadi hina, perlu kepada menuntut ilmu daripada yang lebih alim dan mengetahui. Namun, ketika ilmu sudah penuh di dada, kita pula yang akan dituntut ilmunya dan menjadi lebih mulia. Kata Ustaz, sebagai sumber motivasi buat kami. Khair, ya Ustaz. (^-^)
Pengajian berakhir selepas azan Zohor. Ustaz mengijazahkan Kitab Taalim Mutaalim tersebut kepada semua ahli pengajian yang hadir. Alhamdulillah, selesai satu kitab bersama Ustaz. Syukur. Kitabnya juga sangat menarik. Warna biru lagi.
Jam menunjukkan hampir pukul 1.30 petang. Semua ahli pengajian mula berangkat pulang ke mahallah masing-masing. Saya pergi mendapatkan sahabat sayang fillah saya tersebut dan kami mula bergerak menuju ke pintu pagar utama, sebelum bergerak ke Pantai Hillpark. Sahabat saya itu tidak banyak bicaranya. Kami berjalan beriringan namun sering kali saya ketinggalan di belakang. Laju benar langkahnya.
Adakah kerana sememangnya beliau berjalan laju atau beliau berkira-kira tidak ingin ketinggalan talaqqi bersama Habib Ali Zainal Abidin tersebut. Tiba-tiba saya teringat sewaktu bertalaqqi bersama Ustaz Muhadir, kami ada membincangkan Kitab Syamail Muhammadiah dan sememangnya Nabi Muhammad SAW seorang yang cepat dan laju langkahnya. Subhanallah. Rupanya sahabat saya sangat berpegang dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. (^-^)
Setibanya di perkarangan Madrasah tersebut, kedengaran suara Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dari dalam rumah tersebut. Alhamdulillah, pengajian masih berlangsung. Sungguh, hati ini terasa sangat lapang dan tenang mendengarkan suara Habib. Perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kami masuk ke dalam rumah tersebut melalui ruang dapur menuju ke kawasan muslimat dan mengambil tempat di belakang ahli pengajian yang lain.
Syukur pengajian tersebut masih berlangsung. Habib Ali sedang mensyarahkan Kitab Dakwah Yang Sempurna, Peringatan Yang Utama. Beberapa minit kemudian, pengajian ditamatkan. Saya sangat terkesan dengan syarahan Habib Ali yang sempat kami dengarkan walaupun sudah di saat-saat akhir pengajian tersebut. Kata Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid:
"Ilmu itu didatangi oleh orang yang tahu nilai harga ilmu."
Lantas saya terfikir betapa bersungguhnya sahabat sayang fillah tersebut cuba untuk menghadiri talaqqi tersebut walaupun sekadar beberapa minit yang terakhir. Beliau telah mengajar saya erti, nilai dan harga sebuah ilmu. Saya yang menemani beliau sepanjang perjalanan berasa sangat kecil dan kerdil dibandingkan dengan kesungguhan, kecekalan dan keazaman beliau untuk mencari dan mendapatkan ilmu. Saya sedia maklum sahabat saya ini hatinya sangat dekat dan akrab dengan talaqqi. Beliau akan berusaha mencari dan mendapatkan ilmu walaupun sesukar mana jalan yang harus ditempuhi beliau. Mampukah saya menjadi sehebat dirinya? Mampukan saya benar-benar menghayati erti, nilai dan harga sebuah ilmu itu? Mampukah saya secekal dan setabah beliau dalam perjalanan mencari ilmu?
Allah tak lihat natijah tapi usaha. Insha Allah Fatin.
Sungguh saya telah ditarbiyah tentang ilmu pada hari tersebut. Pada pagi hari saya menadah pelajaran teori tentang ilmu, kelazatan ilmu, jalan mendapatkan ilmu dan mengagungkan ilmu dan pada petangnya saya sendiri menyaksikan pelajaran praktikalnya daripada seorang insan bergelar sahabat. Syukran ya Allah.
Teringat kata-kata Ustaz Muhadir:
"Ilmu yang diperoleh bukan untuk dibicarakan tetapi untuk diamalkan."
Teringat kata-kata Ustaz Muhadir:
"Ilmu yang diperoleh bukan untuk dibicarakan tetapi untuk diamalkan."
p/s: Sempat menatap wajah Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid daripada jauh sebelum berangkat pulang. Subhanallah. Habib Ali yang mengenakan jubah dan serban putih yang sedang duduk berbicara dengan para muslimin kelihatannya sangat tenang dan menenangkan. (^-^)
p/s: Turut terkesan dengan kata-kata sahabat sayang fillah tersebut.
"Kan best kalau hari-hari macam ni, talaqqi sehari suntuk dari pagi lagi. Bangun je pagi, siap-siap untuk talaqqi."
Inilah orang yang sudah berjaya merasai kelazatan ilmu barangkali. Subhanallah. Segala puji bagi Allah kerana telah mengirimkan beliau untuk hadir ke dalam hidup saya ini. Semoga persahabatan ini berkekalan sehingga ke syurga, sahabatku~


stail la sister
May Allah always be with you and your beloved friend.. :)