Soalan Berbalas Soalan

Semasa saya mengajar di sekolah rendah sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bulan lepas, saya berkesempatan berkongsi sebuah kisah perdebatan berkaitan akidah bersama anak-anak murid saya. Alhamdulillah, penerimaan mereka sangat baik. Ingin saya kongsikan kisah tersebut di sini, mungkin bermanfaat buat semua. (^-^)

"Imam Abu Hanifah pernah hadir dalam majlis perdebatan antara seorang ateis bernama Dahri dengan ulama Kufah. Dalam pendebatan sebelum ini, hampir seluruh ulama Kufah telah tumpas dengan hujah ateis berkenaan. Kini giliran Tuan Guru Hamad pula berhadapan dengan Dahri. Ketika itu, Imam Abu Hanifah masih kanak-kanak lagi, tetapi beliau telah menunjukkan kematangan dan kecerdikaan yang luar biasa. Beliau memohon untuk menggantikan gurunya dalam perdebatan itu.

Sewaktu majlis bermula, Imam abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu'man bin Thabit, bersuara dari bawah pentas, "Apakah soalanmu, wahai Dahri? Cubalah kemukakan agar dapat dijawab oleh yang mengetahui jawapannya."

Menyedari bahawa yang bertanya itu adalah seorang kanak-kanak, Dahri pun tersenyum lantas berkata " Siapa kamu wahai budak kecil? Adakah engkau mahu menjawab soalanku sedangkan sebelum ini sudah ramai alim ulama yang berserban besar dan berjubah labuh telah kukalahkan?".

"Wahai Dahri," balas Nu'man, "Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu kepada pakaian seseorang. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa"

Nu'man lalu membacakan sebuah firman Allah swt yang bermaksud" Allah telah meninggikan darjat orang yang beriman dan berilmu antara kamu beberapa darjat"
(Al-Mujadalah :11)

Tanpa diselangi dengan bualan panjang, Dahri pun mengajukan soalannya yang pertama, "Apakah Allah itu Wujud?"

"Ya, wajib Allah itu wujud," jawab Nu'man.

"Kalau wujud, dimanakah tempatnya?" tanya Dahri lagi.

"Wahau Dahri, apakah engkau mempunyai nyawa? Kalau ada, dimanakah letak nyawamu?"

Tersentak Dahri apabila soalannya dijawab dengan soalan. Dahri mengajukan soalan kedua setelah Nu'man memberikan beberapa hujah yang padu.

"Adakah sesuatu yang wujud sebelum wujudnya Allah dan apakah sesudahNya?"

Nu'man menjawab,Sesungguhnya wujud Allah tidak didahului oleh sesuatu dan tidak diakhiri oleh sesuatu jua".

"Tidak boleh diterima akal, barang yang ada tanpa permulaan dan tanpa kesudahan!," hujah Dahri.

"Adakah jari lain sebelum ibu jarimu dan adakah jari lain sesudah jari kelingkingmu?" balas Nu'man dengan pertanyaan lagi. Dahri terpegun. Nu'man memberikan hujahnya yang lain dengan petah.

Dahri rasa amat tercabar. Sambil menahan perasaannya yang kurang sedap, Dahri berkata, " Baiklah, ini soalanku yang terakhir. Apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?".

Soalan tersebut membuat Nu'man tersenyum riang. " Ini soalan yang sungguh mudah dan menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,"katanya.

Dahri turun dari mimbar masjid, memberi laluan untuk Nu'man menaikinya pula. Sambil berdiri gagah di atas mimbar, berteriaklah Nu'man, "Wahai manusia sekalian, Ketahuilah oleh kalian bahawa kerja Allah ketika ini ialah menaikkan yang haq dan menjatuhkan yang batil sepertimana Allah menaikkan aku ke atas mimbar ini dan menurunkan Dahri ke bawah."

Begitulah bijaknya Nu'man atau Imam Abu Hanifah menyusun bicaranya petang itu, pasti kejayaan menjadi milik ulama yang terkenal itu."

-Portal Komuniti Muslimah/ http://www.hanan.com.my/article.php?sid=57


Setiap persoalan pasti ada jawapannya!

Kita semua makhluk Allah. Yakinlah bahawa Allah itu Yang Maha Berkuasa.

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani