Hatim al-Asham adalah salah seorang sahabat dan anak murid kepada seorang ahli sufi, Syeikh Syaqiq al-Balkhi atau disebut juga al-Balaghi. Hatim berguru kepad Syaqiq selama 30 tahun. Pada suatu ketika, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Wahai Hatim, sudah 30 tahun kita bersahabat, apakah yang telah kamu peroleh selama ini?"
Hatim menjawab, "Telah aku peroleh lapan ilmu pengetahuan yang sangat berfaedah." Syaqiq kehairanan dan bertanya apakah selama 30 tahun itu hanya lapan perkara yang diperolehnya. Kalau begitu tentulah rugi dia belajar selama ini. Bagaimanapun telah dijawab oleh Hatim dengan berkata, "Walaupun lapan perkara tetapi sudah mencukupi bagi diriku untuk mencapai keselamatan dan kebahagiaan."
Syaqiq bertanya, "Apakah lapan perkara itu, wahai sahabatku?" Hatim menjelaskan satu-persatu seperti berikut:
Pertama:
Aku telah puas mengamati berbagai ragam manusia. Aku melihat mereka masing-masing mempunyai kekasih sebagai tambatan hati. Sebahagian daripada mereka, ada yang didampingi kekasihnya hanya semasa hidup dan menjelang kematiannya. Ada yang mendampinginya hanya sampai ke kubur. Sesudah itu, semuanya kembali dan meninggalkannnya sendirian di kuburan. Tiada seorang pun yang bersedia menemaninya masuk ke liang kubur .
Setelah melihat kejadian itu, terdetiklah dalam fikiranku:
"Kekasih yang paling utama ialah yang menyertai seseorang masuk ke dalam liang kubur dan memberikan hiburan di dalamnya."
Hal ini aku temui hanya dalam amal soleh. Oleh kerana itu, aku jadikan amal soleh sebagai kekasih agar kelak membolehkannya menjadi pelita dalam kuburanku, menghibur dan tidak meninggalkanku seorang diri.
Kedua:
Aku melihat kebanyakan manusia hanya mengikut dan memperturutkan hawa nafsunya untuk memenuhi segala keinginannya. Terhadap hal ini, aku amati firman Allah SWT yang bermaksud:
'Dan adapun orang yang takut akan kebesaran Rabbnya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.'-Surah Al-Naaziat ayat 40-41.
Aku yakin al-Quran pasti benar. Oleh kerana itu, aku bersegera menahan hawa nafsuku. Aku berusaha berjihad menahan hawa nafsuku. Aku berusaha menolak segala keinginannya yang liar sampai tunduk menyerah dan melutut taat kepada Allah SWT.
Ketiga:
Aku melihat setiap orang membanting tulang untuk mendapatkan harta dan menumpuk kekayaan dunia. Mereka membelanjakannya dengan hemat, bahkan amat kikir. Maka, aku lantunkan fikiranku dan hatiku pada firman Allah SWT yang bererti:
'Apa yang ada padamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal."-Surah An-Nahl ayat 96.
Oleh kerana itu, aku segera keluarkan harta simpananku selama ini untuk mencari keredhaan Allah. Aku sedekahkan kepada fakir miskin dan untuk berjihad fi sabilillah agar kelak menjadi simpanan di sisi Allah SWT.
Keempat:
Aku mengira bahawa sebahagian manusia mengira bahawa ketinggian darjatnya ditentukan oleh banyaknya kerabat dan keluarga. Mereka berasa megah dan berbangga bila mempunyai kaum kerabat yang ramai.
Sebahagian daripada mereka ada yang beranggapan bahawa ketinggian dan kemuliaan martabat seseorang itu terletak pada banyaknya harta. Dengan harta dan kekayaan itu mereka menyombongkan diri.
Sebahagian yang lain pula beranggapan bahawa kemuliaan dan ketinggian martabat itu berada dalam perilaku yang zalim, rakus dan pertumpahan darah sesama manusia. Malah ada pula yang berkeyakinan bahawa kemuliaan dan ketinggian martabat itu terletak pada keborosan, berpesta-pesta dan menghambur-hamburkan wang serta harta benda.
Melihat hal itu, kurenungkan firman Allah SWT yang berbunyi:
'Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.'-Surah Al-Hujurat ayat 13.
Oleh kerana itu, kupilih taqwa sebagi suatu kemuliaan dan ketinggian martabat. Aku yakin yang diketengahkan al-Quran itu adalah benar. Anggapan mereka yang beragam itu semua salah dan tidak beralasan.
Kelima:
Aku melihat manusia hidup saling mencela dan mengumpat. Kudapati pangkal kepada semua itu adalah kedengkian dalam masalah harta, pengaruh dan kepandaian. Maka aku renungkan firman Allah SWT yang bermaksud:
'Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka di dunia ini. Dan Kami telah meninggikan darjat setengah mereka dari setengah yang lain supaya setengah mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada setengah yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik daripada semata-mata kebendaan dan keduniaan yang mereka kumpulkan.'-Surah Az-Zukhruf ayat 32.
Oleh kerana itu, aku mengerti bahawa pembahagian rezeki dan kedudukan telah ditentukan Allah sejak azali. Kerana itu kubuang jauh-jauh sifat iri hati dan dengki. Kuterima dengan segala senang hati setiap pembahagian dari Allah SWT.
Keenam:
Kulihat manusia saling bermusuhan kerana berbagai sebab dan tujuan. Maka kuhayati kembali firman Allah SWT yang berbunyi:
'Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka jadikanlah ia musuhmu. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.'-Surah Faathir ayat 6.
Maka mengertilah aku, bahawa orang tidak layak dimusuhi, kecuali terhadap syaitan. Itu bererti orang yang memusuhi orang lain dia telah terkena jaringan syaitan.
Ketujuh:
Aku lihat setiap orang bekerja keras dan memeras tenaga untuk mencari makan dan keperluan hidup hingga ada yang terjatuh ke dalam kesyubahatan, terjerumus kepada yang haram dan menecemarkan nama baik diri dan martabatnya. Maka kurenungkan kembali firman Allah SWT yang bermaksud:
'Dan tidak ada suatu makhluk pun yang melata di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.'-Surah Hud ayat 6.
Maka aku mengerti bahawa rezeki itu berada pada kekuasaan Allah semata. Masalah rezeki, Dialah yang menanggungnya. Kerana itu, aku bangkit memelihara ibadah kepada-Nya dan kubuang jauh-jauh rasa tamak dan haloba. Hanya kepada-Nya aku menyerahkan sepenuhnya masalah rezeki.
Kelapan:
Aku sering melihat manusia menyandarkan nasib dan harapannya kepada sesamanya dan makhluk lainnya. Sebahagian daripada mereka ada menyandarkan kepada wang dan kebendaan, harta dan kekayaan, perusahaan dan perdagangan. Ada pula yang bergantung kepada sesama manusia. Maka kembali kuperhatikan dengan bersungguh-sungguh firman Allah SWT yang bermaksud:
'Dan barangsiapa yang bertawakal (menyerah diri bulat-bulat) kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Alah telah pun menentukan kadar dan masa berlakunya tiap-tiap sesuatu.'-Surah At-Talaq ayat 3.
Oleh sebab itu aku bertawakal kepada Allah. Sebab hanya Dialah yang dapat mencukupkan segala keperluanku. Hanya Allahlah sebaik-baik pelindung.
Setelah mendengar keterangan Hatim, maka Syaqiq berkata, "Semoga Allah memberi taufik kepadamu, wahai sahabatku."
-credits untuk sebuah majalah wanita yang telah menyiarkan artikel ini.(^-^)
-credits untuk sebuah majalah wanita yang telah menyiarkan artikel ini.(^-^)




TERBAIKKKK!!!!!
magnet!!!! rinduuuu!!!!
hehe..
awk taip ke sume nih?? dahsyat la awk.. tabik2!
Hilal Azhari: Terima kasih! (^-^)
Magnet Sayang: eyy, mmg sy yg type sume nih tp sumber drp majalah..hehe..so credit to the writer la..yg hebat the writer, not me lorh..hehe..