Interaksimu Dengan Siapa?

Letih. Penat. Geram. Benci.

Pause seketika semua rasa itu. Dan cubalah untuk BERDIRI DI ATAS semua perasaan itu.

Lalu fikirkan sejenak.

Dengan SIAPA kamu sedang berinteraksi?

Adakah dengan DIA yang membuatkan kamu berasa letih dan penat bahkan geram sehingga ingin sekali membenci dirinya?

Atau dengan TUHAN yang telah mengaturkan segala kejadian di langit dan di bumi dan setiap sesuatu di antara keduanya?

Takkan berlaku sesuatu tanpa kehendakNya Allah SWT.

Takkan terjadi sesuatu tanpa keizinan daripada Allah SWT.

Jadi, pasti dan pasti Allah SWT jugalah yang berkehendak dan mengizinkan perkara itu terjadi.

Berinteraksi dengan dia, kamu akan berasa geram dan marah. Egomu melonjak tinggi cuba membenarkan dirimu, membenarkan tindakan dan kelakuanmu.

Nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan itu pula semakin mengapi-apikan kamu supaya yang ada hanyalah perasaan negatif yang semakin menyakiti dirimu bahkan orang itu juga.

Hilang segala praktik ilmu tentang akhlak nabawiyah tuntunan Rasulullah SAW. Yang mendominasi hanyalah nafsu dan keegoan yang menebal.

Berinteraksi dengan Tuhanmu, kamu sedar dan yakin bahawa sesungguhnya Allah lah yang mendatangkan dia dengan kelakuan dan tindakannya itu. Persoalannya, untuk apa? Apa pengajaran dari peristiwa ini? Apa yang sedang cuba diajarkan oleh Allah kepadaku?

Maka kita akan melupakan makhluk dan melihat kepada pencipta makhluk.

Barangkali ada salah dan silap kita yang Allah ingin tegur. Boleh jadi juga kita sudah tersasar lalu Dia ingin mengembalikan kita kepadaNya. Atau mungkin juga sekadar ujian supaya jiwa kita lebih kuat dan berserah kepadaNya.

Ini memerlukan kepada refleksi diri yang sangat dalam dan ikhlas kerana Tuhanmu sahaja. Lupakan segala rasa, keegoan dan nafsumu.

Dari sini, hati akan lebih mudah memaafkan bahkan menyantuni orang tersebut. Tiada perasaan negatif. Tiada kemarahan, kebencian dan rasa sakit hati.

Jiwa bahkan merasakan suatu ketenangan yang luar biasa. Dan ini hanya akan dapat dicapai apabila kita benar-benar menyedari Allah.

Lalu tanyalah diri, untuk apa kemarahan itu? Apakah kerana Allah atau kerana keegoan diri kita sendiri? Sehingga kita merasa orang lain semuanya salah kerana yakin dan mengakui akan benarnya kita. Sedangkan Allah menguji lagi dan lagi kerana kita tidak pernah belajar dan mencari pengajaran buat memperbetulkan kesilapan diri.

Kita tidak selamanya benar dan orang lain tidak selamanya salah. Berhenti sejenak dan renungkanlah.

Leave a Reply

Powered by Blogger.
Super Kawaii Cute Cat Kaoani