Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Pertama kali mengatur langkah kaki menuju ke Masjid Muadz Bin Jabal.
Teruja dengan pelawaan sahabat sayang, Amirah Hazwani, saya terus menyatakan persetujuan. Memang sudah saya niatkan untuk berkunjung ke masjid tersebut dalam masa terdekat ini, seakan dipanggil-panggil diri ini untuk ke sana. Memang sudah saya niatkan juga untuk ke sana bersama Amirah Hazwani, agar beliau dapat memandu langkah saya yang pertama kali berkunjung ke masjid tersebut. Fikir saya, biarlah saya mampu berjalan sendiri ke masjid tersebut selepas Amirah terbang ke Mesir nanti. Dan apabila Amirah mengemukakan perlawaan, tentu sahaja saya terus bersetuju. Kerana Allah sudah bukakan pintu kemudahan untuk saya. Alhamdulillah.
Namun, perancangan Dia lebih indah. Amirah terpaksa bergerak lebih awal kerana beliau harus singgah di Gombak dahulu sebelum bertolak ke Setiawangsa. Jadi, seperti biasa, saya sendirian. Tapi, saya senang seperti itu. Perjalanan sendirian tidak begitu melelahkan hati saya. Susah senang saya sendiri. Tidak menyusahkan yang lain dan tidak menyebabkan orang lain harus menanggung akibat daripada kesilapan saya dalam trial and error ke destinasi yang dituju.
Hampir sejam menanti bas di hadapan pintu pagar, akhirnya bas tiba. Perjalanan ini rasanya tidak terlalu sukar. Kata Amirah, selepas menaiki LRT ke Setiawangsa, saya hanya perlu berjalan sedikit untuk ke masjid tersebut. Silap saya, memulakan perjalanan di lewat petang, mengakibatkan saya tiba di Setiawangsa selepas azan Maghrib. Silap saya juga, tidak bertanya lebih lanjut tentang arah yang harus saya ambil untuk berjalan ke masjid tersebut.
Sewaktu tiba di stesen Setiawangsa, jam menunjukkan hampir 7.40 malam dan saya masih belum solat Maghrib. Hati ini gusar. Berkali-kali saya mengerling ke arah jam di tangan. Namun, sewaktu menuruni anak tangga, saya terlihat sebuah surau. Surau di stesen LRT berada betul-betul di hadapan saya. Saya senyum. Mengucap tahmid. Syukur, Allah permudahkan. Namun, kemudian, hampa. Surau tersebut ditutup kerana ketiadaan air. Allahu Allah. Saya harus segera ke masjid tersebut.
Keluar sahaja dari stesen LRT, sekali lagi, hampa. Tiada teksi untuk ditahan. Tangan mencapai telefon bimbit cuba untuk menghubungi Amirah. Maaf, anda kehabisan kredit. Lembut suara operator menjawab panggilan. Allahu Akbar. Tangan mencapai dompet mengeluarkan kad tambah nilai, menggores dan membuat panggilan. Tidak berjawab. Jam menunjukkan 7.51 minit malam. Saya akhirnya mengambil langkah sendiri, berjalan mengikut gerak kaki, gerak hati. Sekali lagi mendail, Amirah menjawab. Barangkali tadi beliau sedang solat. Asif mengganggu. Alhamdulillah, jalan yang saya ambil sama seperti yang diberitahu oleh Amirah dalam panggilan tersebut.
Akhirnya, kelibat masjid tersebut menjamu pandangan mata saya. Alhamdulillah. Persoalan sekarang, macam mana untuk bergerak ke seberang. Sebenarnya, saya agak tidak berani untuk melintas jalan terutama jalan-jalan besar. Selalunya setiap kali melintas, "I don't want to die young, ngaaa!". Tapi, keberanian harus dicari bukan dinanti. Lama juga menanti di sisi jalan sebelum kaki melangkah. Terlihat ada seorang pak cik melintas, cepat-cepat mengekori gerak langkah beliau. Langkah demi langkah. Akhirnya diri ini tiba di masjid nan indah. Langsung ke ruangan muslimat, mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib. Alhamdulillah.
Usai solat isya, bertemu Amirah Hazwani. Seakan berjanji, kami berpakaian sama. Putih biru. Saya tersenyum dan saya tahu beliau juga turut tersenyum di sebalik kain indah yang menutupi wajahnya itu. Kami mengambil tempat di hadapan. Saya duduk di belakang Amirah. Di sebelah kiri saya, seorang ibu bersama tiga orang anaknya. Saya melihat ke arah anak sulungnya. Kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 8 tahun yang comel berbaju biru. Saya senyum kepadanya sambil mengangkat kedua-dua kening. Kanak-kanak itu meniru saya, mengangkat kedua-dua kening beliau juga. Keletah yang mencuit hati, kami sama-sama tergelak.
Saya kagum dengan ibu kanak-kanak itu, beliau seakan sudah menghafal semua sirah nabawiyah dan qasidah yang dinyanyikan. Laju sahaja meluncur dari mulut beliau. Begitu juga kanak-kanak itu tadi. Saya perasan adik kecil itu dengan begitu bersahaja ikut menyanyikan qasidah yang didendangkan. Agak kaget dan malu. Kanak-kanak sekecil itu sudah menghafal ayat-ayat indah tersebut.
Saya kagum dengan suasana masjid tersebut. Teringat impian dan harapan seorang sahabat saya yang ingin membina sebuah masjid di mana fungsi-fungsi Islam dijalankan di masjid tersebut. Wahai sahabat, inilah masjid seperti yang anda inginkan itu. Tenang dan menenangkan. Saya lihat para petugas sibuk mengendalikan majlis, memastikan kelancaran majlis. Petugas-petugas PA System, qasidah, slide show presentation, sehinggalah kepada petugas-petugas yang membawa dan menuangkan kopi kepada para jemaah yang hadir. Semuanya bertugas untuk Majlis Maulid yang indah ini.
Habib Ali Zainal Abidin tiba. Amirah Hazwani teruja. Saya juga. Sudah lama tidak menatap wajah Habib yang tenang dan menenangkan. Teringat kata-kata Ustazuna Muhadir, kata Ustaz, bukan semua orang diberikan kesempatan dan peluang untuk bersama-sama mendampingi para habaib dan para masyaikh dalam majlis-majlis ilmu. Syukur ya Rabb. Tetapkanlah aku dalam kalangan hamba-Mu yang soleh dan solehah. Sewaktu Habib membacakan doa, mendoakan semua yang hadir, waktu itu saya rasa sayu, air mata saya mengalir. Ya Allah, kabulkanlah permintaan kami.
Pertama kali hadir di Majlis maulid, tidak banyak yang mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Terlalu indah untuk diterjemah ke dalam kata-kata. Alhamdulillah, saya terjumpa satu video di You Tube, sebuah video ringkas tentang Majlis Maulid tersebut. Cukup untuk merangkumkan segala apa yang saya ingin kongsikan tentang majis indah tersebut.
boleh pause pada music player di bawah untuk senyapkan musik latar :)
Seusai majlis, semua sudah bergerak keluar. Saya dan Amirah masih di dalam ruangan muslimat. Tiba-tiba, kanak-kanak kecil sebentar tadi datang ke arah saya, menghulurkan tangannya yang comel untuk disalam. Saya tersenyum lalu menyambut huluran adik kecil itu. Allahu Allah. ^_^
***
Dalam perjalanan, pasti ada mehnah dan ujian. Itulah kehidupan. Ya saya hampa. Terkadang keluhan berat dilepaskan. Kerana saya juga manusia. Namun, kehampaan itu mendewasakan. Setiap perjalanan membawa pelbagai pengalaman dan kenangan. Suka dan duka. Setiap dugaan itu, saya ambil sebagai sesuatu yang positif. Barangkali buat menebus dosa-dosa saya, menyucikan diri ini, sebelum diri ini melangkah dan duduk di dalam majlis ilmu yang di dalamnya terdapat para habaib dan masyaikh yang mulia. ^_^

its amazing sis, tell your friend tht this mosque is perfect, i bet he/she wud admit it..
wohaa!! nak pi, nak pi~