Panjang betul title. Sepanjang entrynya. Hoho. (^-^)
****************************
Saya segera menyeberangi ke seberang jalan berkira-kira untuk menghampiri kelibat yang saya kenali itu. Beliau sedang memakai topi keledar dan mula menghidupkan enjin motorsikalnya. Apabila beliau menyedari kedatangan saya, saya mendepakan tangan (ala ala magic tiba-tiba boleh muncul gitu, "tadaaa!") dan tersenyum memandang beliau.
"Fatin!" beliau kaget namun nampak senang dengan kehadiran saya.
"Kak Zana....!" tersenyum lagi.
"Cuti ka?" tanya beliau.
"A'ah, nak balik dah pun Sabtu ni," balas saya dalam senyuman. Sungguh saya sangat gembira dapat bersua muka dengan beliau. Mestilah, dah lama sangat tak jumpa Kak Zana nih. Alhamdulillah Allah buka peluang untuk berjumpa dengan Kak Zana sebelum saya balik ke CFS. Syukur! (^-^)
Kak Zana merupakan senior saya sewaktu bekerja di Qalaminda Bookstore Sdn. Bhd. Saya bekerja di kedai buku tersebut sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM setahun lepas. Empat bulan saya bekerja di situ, dari Kak Zana lah saya banyak menimba pengalaman. Hari-hari bekerja dan meluangkan masa bersama, tentu saja hubungan kami menjadi akrab.
Saya mula bekerja di Qalaminda Bookstore Sdn. Bhd. pada 1 Januari 2011. Tempoh sebulan pertama saya bekerja di kedai buku tersebut, Kak Zana tiada. Beliau mengambil cuti sebulan bagi menjaga anak bongsu beliau, Aina yang demam panas sehingga terpaksa ditahan di hospital. Sepanjang ketiadaan Kak Zana, Kak Su dan Kak Fiza lah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Umur Kak Su dan Kak Fiza tidak jauh beza dengan saya, jadi saya tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk bergaul dengan mereka.
Sepanjang itu juga, macam-macam yang saya tanyakan tentang Kak Zana kepada mereka berdua. Mulai awal Februari, Kak Su dan Kak Fiza bakal berhenti kerja, jadi hanya saya dan Kak Zana yang akan tinggal berkhidmat di kedai buku tersebut. Saya yang tidak pernah bersua muka dengan empunya nama Kak Zana mestilah rasa takut, gabra, cuak, dan yang sama waktu dengannya. Bak kata Kak Fiza, Kak Zana adalah super duper senior di kedai tersebut. Beliau sudah berkhidmat sejak awal penubuhan kedai tersebut lagi. Kak Zana agak tegas dan tidak suka pekerja baru yang lambat belajar dan banyak kerenah. Huaaa, takutnya~
Februari menjelma, Kak Zana mula bekerja semula dan saya mula gabra, tak tentu arah. Namun, entah bagaimana, kami mula bercakap, bersembang tentang pelbagai perkara, berkongsi cerita dan akhirnya hahha the ice is broken. Hari demi hari, saya sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan Kak Zana. Bukan sahaja Kak Zana, saya juga mula mengenali kenalan-kenalan Kak Zana di kedai-kedai bersebelahan. Wah, Kak Zana memang super duper senior sejati, semua di sini kenal Kak Zana.
Saya juga mula mengenali keluarga Kak Zana. Suami Kak Zana, Abang Asrul dan permata hati Kak Zana, Irfan dan Aina. Abang Asrul merupakan suami yang sangat prihatin dan penyayang. Kadang kala Abang Asrul akan datang ke kedai, membelikan makanan tengah hari untuk isteri kesayangannya. Kadang kala Abang Asrul datang bersama Irfan dan Aina. Pada tika itu, bibir Kak Zana pasti tidak akan lekang dengan senyuman. Bahagia melayan kerenah buah hatinya yang tercinta mungkin.
Selepas keputusan SPM keluar dan saya menerima tawaran melanjutkan pelajaran di CFS, saya berhenti bekerja. Setiap kali cuti, saya akan ke kedai untuk bertemu Kak Zana. Saja nak mengimbau nostalgia bekerja. Hoho. Rindu sangat. Tapi, beberapa bulan lepas, kedai buku tersebut telah ditutup dan dijual. Kedai buku baru akan dibuka menggantikan kedai buku tempat saya bekerja dahulu. Huaaa. Sedih lah. Namun, Alhamdulillah pemilik kedai buku baru itu tetap akan mengambil Kak Zana untuk berkhidmat dengan mereka.
"Berapa lama cuti?" tanya Kak Zana.
"Sebulan. Sabtu ni dah nak balik sana, baru hari ni nak mai meronda Kompleks Kailan nih" jawab saya berseloroh.
"Tu lah, Sabtu ni dah nak balik, hari ni baru nak mai" Kak Zana ketawa.
"Fatin tak tahu kan abang Kak Zana dah tak ada?" tanya Kak Zana kepada saya. Ehh, abang?
"Abang mana satu?" tanya saya kehairanan. Setahu saya, saya tak kenal dengan abang Kak Zana. Huhu.
"Abang Kak Zana, suami Kak Zana, Abang Asrul," Kak Zana memberikan pencerahan. Ohw! A'ah, Kak Zana memang membahasakan suami Kak Zana sebagai 'abang Kak Zana'. Lupalah~ Aiyoo.
Ehh jap! Suami Kak Zana, Abang Asrul dah tak ada? Tak ada tu maksudnya meninggal dunia la kan.
"Hah! Kenapa? Bila?" tanya saya, terkejut.
"Kemalangan. Bulan tiga hari tu," jawab Kak Zana tenang. Innalillahiwainnailaihirajiun. Subhanallah, beratnya ujian yang Kak Zana terima.
Tiba-tiba hujan turun. Bermula dengan gerimis yang kemudiannya lebat membasahi bumi dan juga kami yang masih lagi di tempat parkir motorsikal tersebut. Kak Zana kemudian mengajak saya meneruskan perbualan di kaki lima kedai yang agak terlindung dari hujan. Dari kejauhan, sahabat saya turut datang menyertai kami.
Arwah Abang Asrul ditimpa kemalangan sewaktu dalam perjalan pulang dari tempat kerja. Kata Kak Zana, arwah mengalami kecederaan teruk di kepalanya dan dalam masa kurang 24 jam kemudian, arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital. Sungguh, Kak Zana sangat kuat. Saya akui saya sangat terkejut dan terkesan dengan berita tersebut. Kak Zana yang di hadapan saya ini kini sudah kehilangan suami tercinta. Irfan dan Aina juga sudah kehilangan ayah mereka. Allahuakbar.
Banyak yang Kak Zana kongsikan tentang pemergian arwah Abang Asrul. Sayu hati saya mendengarkan cerita-cerita dari Kak Zana. Saya menyedari mata Kak Zana bergenang tatkala berkongsi cerita-cerita tersebut. Jauh di dalam hati saya mengkagumi Kak Zana. Kak Zana sangat kuat. Saya yakin Kak Zana sangat hebat dan kuat. Buktinya, Allah menguji Kak Zana dengan ujian sebegini hebat. Bukankah Allah sudah berjanji tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kesanggupannya. Jadi tentulah Kak Zana seorang yang cukup kuat, hebat, cekal, tabah dan sabar lalu Allah menguji beliau sedemikian rupa.
Kak Zana kini sudah berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anaknya yang masih kecil itu. Masakan tidak, mereka sudah kehilangan ayah tempat bergantung dan menumpang kasih, jikalau Kak Zana masih sibuk bekerja, Kak Zana khuatir, anak-anaknya akan ketandusan kasih sayang. Kak Zanalah kini ibu dan juga ayah bagi anak-anaknya. Sungguh, berat ujian yang Kak Zana terima. Bukan mudah apabila kehilangan orang yang tersayang.
Lantas, saya teringat pertemuan saya dengan seorang sahabat sekolah lama, Natasha beberapa hari sebelum saya bertemu Kak Zana. Natasha ada mengutarakan satu soalan random yang agak mengejutkan saya,
"Fatin, macam mana kalau seseorang yang kita sayang tu mati?"
Saya kaget mendengarkan soalan tersebut. Random question. Saya diam. Minda ligat mencari jawapan. Cuba meletakkan diri di situasi seperti itu. Boleh tahan jugak soalan random dari Natasha nih. Huhu. Dan akhirnya soalan itu saya tinggalkan tanpa jawapan.
Dan kini, berdiri di hadapan saya, seseorang yang sedang melalui situasi tersebut. Kak Zana, redha dan sabarlah. Di sebalik yang tersirat pasti ada yang tersurat. Allah lebih mengetahui. Saya memuhasabah diri, apa yang boleh saya bantu untuk meringankan beban yang dialami oleh Kak Zana? Saya akhirnya hampa, apalah sangat yang dapat saya lakukan? Later then, I realised that the least that I can do is to pray for Kak Zana and her family. Doa senjata mukmin bukan. Tabahlah Kak Zana, Allah bersamamu.
p/s: Al-Fatihah untuk arwah Abang Asrul. Doakan Kak Zana dan keluarga juga. Terima kasih.
p/s: Malu alah dengan diri sendiri. Minggu lepas, saya menangis dengan sangat teruk. Sampai bengkak mata. Sampai merajuk Magnet sebab saya tak nak cerita kenapa. Hehe. Biasalah, ujian. Saya begitu menangisi diri saya sehingga terlupa, ada yang Allah uji dengan ujian yang lebih hebat daripada saya. Subhanallah.
p/s: Malu alah dengan diri sendiri. Minggu lepas, saya menangis dengan sangat teruk. Sampai bengkak mata. Sampai merajuk Magnet sebab saya tak nak cerita kenapa. Hehe. Biasalah, ujian. Saya begitu menangisi diri saya sehingga terlupa, ada yang Allah uji dengan ujian yang lebih hebat daripada saya. Subhanallah.



awk mmg..
mne pnh nk cte ap2 dgn sy ><
wekkk!! :P
Magnet! tengok ----->> (gambar profile)