Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai mengkhatamkan sebuah novel sejarah Islam hasil karangan penulis, Zaharudin Zabidi dan sejujurnya saya sangat kagum dengan keperibadian ahli sufi wanita yang diceritakan beliau di dalam novelnya itu yakni -->>Rabiatul Adawiyah.

Sebelum ini, saya tahu bahawa Rabiatul Adawiyah adalah wali Allah, saya juga tahu Rabiatul Adawiyah juga antara serikandi Islam yang agung dan saya juga tahu kasih dan cintanya tidak berbelah bahagi hanya kepada Tuhan Yang Satu yakni Allah namun saya tidak benar-benar memahami dan menghayati erti sebenar di sebalik semua itu. Selama ini saya tercari-cari bahan bacaan terbaik untuk menyelusuri kisah hidup ahli sufi wanita itu namun saya gagal menemukannya. Alhamdulillah, kini novel terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. ini bukan sahaja telah mengenalkan saya dengan serikandi hebat tersebut malah telah berjaya membawa saya kembali ke zaman wali Allah itu. (eh, selalu sangat terpromote buku kat blog nih, aishh, xpela, memang best sgt buku ni! (^-^))
Alhamdulillah, kini saya mengerti dan memahami kasih dan cinta Rabiatul Adawiyah hanya untuk Allah semata-mata sehingga
nafsunya pada dunia sama sekali hilang dan lenyap. Allah mensyariatkan
perkahwinan kerana fitrah manusia untuk berkasih sayang dan sememangnya syariat
itu adalah untuk meraikan fitrah tersebut lantas bagi mengelakkan zina. Namun,
bagi perindu Ilahi sehebat Rabiatul
Adawiyah yang langsung tidak mengimpikan kasih lain selain Kekasihnya yang
Satu. Rindu, cinta dan kasih sayangnya hanya pada Yang Maha Esa. Betapa hebat
dan tinggi makam yang telah dicapai oleh Rabiatul Adawiyah. Ya Allah, sungguh
hambaMu ini masih jauh ketinggalan di belakang pencintaMu yang agung itu.
Rabiatul Adawiyah telah berjaya merasai kelazatan dan kenikmatan
rasa cinta dan kasih hanya pada Khalik jadi mana mungkin srikandi hebat ini
mengimpikan cinta dan kasih makhluk. Sungguh, Rabiatul Adawiyah benar-benar
seorang wali wanita yang wujud hanya satu dalam sejuta. Pinangan Sultan
ditolaknya, malah pinangan ahli sufi yang lain juga turut ditolaknya. Tiada
yang dicarinya melainkan redha Allah semata. Rabiatul Adawiyah tidak
mengimpikan syurga bahkan tidak takut akan neraka, sebaliknya ibadahnya
semata-mata untuk mendapatkan redha Allah bukannya mengharapkan sebarang
balasan dan ganjaran.
Serikandi hebat ini bukan sahaja sentiasa merindui Kekasih hatinya yang Satu malah sentiasa bersangka baik dan bersabar dengan segala ujian dan cubaan yang diterimanya. Sewaktu kecil, Rabiatul Adawiyah telah diculik dan dijual kepada dengan harga enam dirham sahaja. Insan agung ini telah dilayan dengan teruk sekali oleh majikannya, sering kali dipukul dan didera namun kesabaran dan keikhlasannya membolehkan Rabiatul Adawiyah mengharungi ujian tersebut sehingga berjaya membawa sinar hidayah buat majikannya itu.
Setelah dimerdekakan, Rabiatul Adawiyah kembali ke Basrah dan akhirnya menjadi ahli sufi yang terkenal di situ. Ramai orang soleh dan alim ulama berkunjung ke rumahnya bagi mendapatkan ilmu daripada serikandi agung itu. Malah, para ulama yang pernah menjadi tempat Rabiatul Adawiyah menimba ilmu turut hadir ke majlis ilmu yang diadakan olehnya kerana makam Rabiatul Adawiyah sendiri sudah menjangkaui mereka maka kini mereka pula yang bergurukan wali Allah itu bagi mendapatkan ilmu dan rahsia pengabdian agung ahli sufi wanita itu. Rabiatul Adawiyah juga menjadi cahaya dan sinar yang sangat indah kepada masyarakat Basrah dan membawa mereka kepada kecintaan yang satu yakni kepada Allah Yang Maha Esa.
Rumah yang didiami oleh wali Allah ini hanyalah berupa sebuah pondok kecil yang telah usang peninggalan arwah ayahnya, Ismail Al Adawiy. Tiada sebarang perabot di rumahnya kecuali satu tikar lama yang diperbuat daripada pelepah tamar. Baju yang dipakai oleh Rabiatul Adawiyah juga sudah lusuh dan tidak sesuai dipakai lagi. Namun, kekasih Allah ini bertegas untuk tidak menerima sebarang bantuan harta walaupun ramai yang ingin menginfakkan harta buatnya. Katanya: "Saya amat malu menagih simpati daripada Tuan Sekelian Alam ini. Bagaimana pula saya sanggup meminta daripada makhlukNya yang tidak memiliki apa-apa?" Kata-kata yang sangat tajam dan berhikmah. Sungguh hati dan jiwanya hanya pada Yang Maha Esa.
Hamba yang hebat ini sering menangis kerana risau jika
amalannya tidak diterima oleh Kekasihnya yang Satu. Subhanallah, ya Allah,
sedangkan waliMu yang sangat mendalam cinta dan kasihnya kepadaMu ini di mana
malamnya dihiasi dengan sujud kepadaMu, hidupnya, lidahnya, bibirnya malah
hatinya tidak pernah lekang daripada berzikir mengingatiMu siang dan malam
masih gusar dan runsing jika Engkau tidak menerima amalannya, apatah lagi
diriku yang masih hina dina ini ya Allah. Subhanallah, malunya diri ini.


