Entah mengapa hatinya terasa begitu resah dan gelisah. Dia tidaklah diuji sehebat rakan-rakannya yang lain. Tidak diuji dengan kehilangan ibu tercinta seperti Kamal Ariffin, tidak juga diuji dengan kesusahan dan keperitan hidup seperti Auni Nafeesa, tidak diduga dengan permasalahan keluarga yang penuh konflik seperti yang dialami oleh Hanisa dan dia juga tidak mendapat cubaan sehebat Ammar Yassir yang disahkan menghidap barah otak. Tidak, sungguh dia belum pernah diuji sehebat itu. Semestinya dia sangat bersyukur. Akan tetapi, kenapa hatinya ini seringkali berasa tidak tenang.
Sayup sahutan azan Maghrib sudah mula kedengaran dari surau yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Seakan kenal benar dia dengan suara bilal yang mengumandangkan azan itu. Ya, tidak salah lagi. Dia tersenyum sendirian. Itu suara ayahnya. Hati ayah benar-benar sudah terpaut akan surau itu. Alhamdulillah. Tahmid meluncur laju dari bibirnya. Lantas, dia membersihkan diri dan mengambil wuduk.Hati ini perlu direhatkan dengan solat.
Seusai solat, dia berwirid ringkas. Selepas membaca Ayatul Kursi, perlahan-lahan dia menuturkan Tasbih Fatimah. Serentak jari jemarinya menghitung bilangan zikir yang diucapkannya itu. Detik hatinya, biarlah jari jemari ini menjadi saksi apabila disoal di akhirat kelak bahawa dia menggunakan jari kurniaan Allah itu untuk beribadat dan mengesakanNya. Kemudian dia menadah tangan memohon doa.
Sambil lancar bibirnya menuturkan doa, untaian manik-manik jernih mulai berguguran mengalir di pipinya yang mulus. Dia meluahkan segala apa yang terbuku di hatinya pada Dia Yang Maha Mendengar. Sungguh hatinya hiba dan pilu. Kenapa hatinya begitu mudah terusik. Kenapa dirinya begitu lemah.
“ Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dan ketabahan kepada hambaMu ini. Aku mohon taufik dan hidayahMu. Sesungguhnya petunjukMu tidak ternilai harganya. Jangan biarkan aku terkontang-kanting tanpa arah, tanpa tujuan dan jauh sekali tanpa petunjukMu. Jadikanlah aku seorang serikandi, mujahidah yang begitu merindukan syahid di jalanMu. Tetap di atas jalanMu yang lurus. Hiasi diri ini dengan sinar keimanan, penuhi ruang hati ini dengan cintaMu. Pelihara diriku dari cinta yang melalaikan dan jauhkanlah aku dari cinta manusia yang pura-pura.”
Perlahan dia meraup wajahnya yang basah dengan air mata dan mengaminkan doanya itu. Lega rasa hatinya. Syukur dilafazkan. Terima kasih ya Allah atas ketenangan yang Engkau titipkan ini. Dia mencapai naskhah kecil al-Quran di rak bersebelahannya. Lantas membuka helaian kertas itu dan mengalunkan ayat-ayat cinta dari TuhanNya. Sungguh, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Sabar dan ikhlaslah duhai hati. Bisik hati kecilnya sebelum dia tenggelam dalam keasyikkan membaca ayat-ayat cinta dari Tuhannya itu.
-8.15pm, TBP.

